fbpx

J-KOM kini di bawah Kementerian Komunikasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi

PUTRAJAYA – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini dipindahkan ke Kementerian Komunikasi berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media Kerajaan Perpaduan di sini, hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap kepada Kerajaan Perpaduan berkata, lantikan Ketua Pengarah baharu J-KOM bagi menggantikan Datuk Mohammad Agus Yusoff juga belum dimuktamadkan.

“Saya belum sempat bertemu pihak J-KOM (bagi bincang lantikan Ketua Pengarah). Saya perlu beri masa dan ruang beri taklimat sebelum komen lanjut. Tunggu dan beri beberapa hari kepada saya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, antara agensi lain yang kekal bersama Kementerian Komunikasi ialah Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Jabatan Penerangan (Japen), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Jabatan Penyiaran (termasuk RTM), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Sementara itu, Fahmi berkata, tiga agensi lain yang sebelum ini di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan dipindahkan ke Kementerian Digital iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Bagaimanapun, katanya, kedudukan Digital Nasional Bhd (DNB) belum diputuskan dan masih dibincangkan.

Pada masa sama, Fahmi menjelaskan, Kementerian Digital akan beroperasi di Menara Usahawan, Presint 3 dan proses membentuk kementerian itu sedang diperhalusi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI