MESKIPUN baru tiga tahun bertatih dalam industri lakonan, pelakon muda yang sedang meningkat naik, Hariz Hamdan tidak menyangka apabila dapat ‘berdiri sama tinggi’ dengan pelakon terkenal Thailand, Pon Nawasch.
Meskipun tidak berkongsi gelanggang sama dalam sebuah drama mahupun filem, jejaka 21 tahun itu bersyukur apabila dapat bergandingan dengan Pon dalam acara larian ASICS Meta: Time: Trials yang berlangsung di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Kedua-dua mereka yang merupakan duta jenama ASICS menyempurnakan larian sejauh 10 kilometer bersama 3,000 peserta.
“Saya pernah berjumpa dengan Pon sebelum ini di Vietnam dan Thailand. Ini adalah pertemuan kali ketiga, bagi saya dia seorang yang baik, rendah diri dan pelakon yang boleh dicontohi.
“Walaupun dia memiliki begitu banyak pengalaman berbanding dengan saya, dia tidak lokek memberi nasihat dan tunjuk ajar terutama daripada segi gaya hidup sihat.

“Di luar bidang lakonan, dia seorang yang sangat aktif bersukan dan dalam acara larian ini saya memang tidak dapat mengejarnya kerana dia agak pantas,” ujar Hariz.
Sementara itu, Pon yang berusia 27 tahun memuji kesungguhan Hariz dalam kerjaya dan berasa kagum dengan pencapaiannya meskipun baru tiga tahun bergelar pelakon.
“Dia merupakan satu-satunya pelakon Malaysia yang saya kenali dan rapat. Bagi saya, pada usia yang agak muda pencapaiannya agak bagus. Dia juga sangat komited dengan apa yang dilakukan.
“Tidak mustahil jika dia mengekalkan disiplin sebegini, Hariz pasti akan menjadi nama besar pada masa depan,” tutur Pon.
Ditebak tentang keterbukaaannya untuk bergandingan bersama Hariz dalam sesebuah karya, Pon berlapang dada kerana beranggapan mereka adalah orang yang berkongsi visi serupa.
“Saya dapat merasakan kami dapat berhubung dengan baik bukan sahaja kerana kami berdua adalah pelakon, tetapi kami juga orang yang sangat aktif bersukan.
“Di luar waktu kerja, saya memang suka bersenam dengan mengikuti program larian, begitu juga dengan Hariz yang aktif di gim dan larian.
“Jadi, jika ada peluang untuk bergandingan dengan Hariz dalam sebuah karya pada masa depan saya bersikap terbuka. Dia sangat muda dan begitu banyak potensi yang belum dicungkil,” luah Pon.

Popular di Malaysia
Berbicara tentang kehadirannya di Malaysia, pelakon yang popular dengan drama Praomook dan Devil In Law itu tidak menyangka sama sekali bahawa dia memiliki ramai peminat di sini.
“Sebelum ini ada orang memberitahu yang saya agak popular di Malaysia kerana drama Thailand ditayangkan di sini, tetapi saya tidak sangka seramai ini.
“Memang agak terkejut. Dari lapangan terbang, hotel sehinggalah acara larian ramai peminat minta bergambar.
“Melihat penerimaan peminat di sini, saya rasa sangat dihargai dan disambut dengan baik. Dalam Instagram juga ramai peminat Malaysia yang sering memberikan komen. Sayangnya saya tidak sempat untuk berterima kasih kepada mereka,” kata Pon.
Menyentuh tentang karier lakonannya, Pon yang mula debut sebagai pelakon pada 2015 mendedahkan, sebelum menerima sebarang tawaran lakonan perkara utama yang dinilai adalah skrip.
Ini termasuklah karya-karya percintaan antara lelaki yang popular di Thailand dikenali dengan siri BL. Namun, sehingga ke hari ini Pon tidak pernah membintangi dalam karya sedemikian.
“Saya terbuka dengan sebarang watak dan suka mencabar diri, tetapi saya melihat karya itu sendiri bukan watak semata-mata. Setakat hari ini belum pernah lagi saya berlakon dan menerima tawaran dalam drama siri BL (ketawa),” tutur Pon jujur.
Ditebak sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, apakah drama lakonannya yang paling digemari?
“Drama lakonan saya yang paling saya gemari adalah Tra Barb See Chompoo.
“Drama itu yang menaikkan nama saya dalam industri. Kerana drama itu saya menang anugerah. Jadi, karya itu akan kekal dalam memori dan hati saya,” ujar Pon.
Bakal muncul dengan drama epik terbaharu berjudul Thatree bersama aktres, Yeena Salas, Pon juga tidak gentar dengan kemunculan ramai pelakon baharu.
Dia bahkan yakin, kerja keras dan komitmen yang diberikan dalam setiap naskhah akan mengekalkan kedudukannya sebagai salah seorang pelakon popular di Thailand.
“Walaupun sudah ada pengalaman, sebagai pelakon saya tidak pernah berhenti belajar perkara baharu dan menjaga disiplin ketika bekerja.
“Saya yakin orang akan nampak usaha keras saya dan perkara tersebut akan memberi persaingan yang sihat dengan pendatang baharu. Tidak ada istilah untuk rasa takut atau cemburu kerana semuanya berbalik kepada komitmen dan rezeki,” luah Pon.

Hariz bina badan
Berbalik kepada Hariz. Selepas tiga tahun bergelar pelakon begitu banyak perubahan dapat dilihat dalam dirinya. termasuklah tubuh yang semakin sasa.
Tidak hanya mahu dilihat sihat, Hariz mengakui terpaksa membina badan demi lakonannya dalam drama aksi terbaharu berjudul Xchange terbitan Astro Originals.
“Jika sebelum ini orang asyik melihat saya bawa watak ‘Megah Holdings’, tetapi sekarang rasanya sudah tiba masa untuk saya mencuba watak-watak yang berbeza.
“Sekarang saya lebih banyak menerima tawaran watak yang sesuai dengan usia dan bergenre aksi. Disebabkan drama Xchange saya menjadi lebih ‘fit’ dan sihat.
“Masakan tidak, saya perlu bergandingan dengan Datuk Rosyam Nor dan drama itu memang memerlukan saya berbadan sasa,” tegas Hariz mengidam untuk membawa watak orang kelainan upaya (OKU) atau kaki pukul.
Hariz yang bakal muncul dengan filem Banglo Seksyen 12 pada Januari ini berkata, selain karier di Malaysia dia juga sudah bersedia untuk menggembangkan sayap ke negara jiran seperti Indonesia.
“Sejujurnya, siapa yang tidak mahu berlakon di luar negara jika ada peluang. Saya mahu ikut jejak langkah pelakon Miller Khan yang diterima baik peminat Indonesia.
“Tetapi saya sedar, perkara tersebut bukan mudah. Saya harus membuktikan kemampuan diri terlebih dahulu,” kata Hariz.
Disoal adakah dia terbuka membawa sebarang watak demi impian berlakon di luar negara, sambil menggelengkan kepala, Hariz meluahkan prinsipnya.
Pelakon yang mula popular dengan drama Andai Itu Takdirnya itu, tidak akan mengadaikan maruah diri demi menerjah pasaran sebagai artis antarabangsa.
“Saya lahir dan memulakan kerjaya di Malaysia. Sebelum membawa watak yang dirasa kontroversi atau boleh menyentuh sensitiviti masyarakat, saya akan tanya diri, adakah berbaloi?
“Adakah keluarga dan peminat saya di Malaysia suka dengan apa yang saya lakukan? Andai ceritanya bagus tetapi saya perlu menggadaikan maruah, saya akan tolak secara baik.
“Banyak lagi cara baik untuk meningkatkan diri di pentas antarabangsa atau di luar negara. Jika tidak selesa memang saya tidak lakukan. Apapun, semua berbalik kepada prinsip,” ujar Hariz menutup bicara.
















