CHEE MIN menganyam dawai besi untuk dijadikan bakul.

Seni anyaman raga dawai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka, bakul dawai buatan tangan yang digunakan untuk menyimpan barang pada zaman dahulu kini menjadi salah satu item dekorasi yang cukup diminati.

Selain hasil kerja yang halus dan teliti, bagi sesetengah orang, bakul dawai itu juga mampu mengimbau nostalgia semasa kecil.

Usaha untuk menghidupkan semula seni kraf tangan bakul dawai yang semakin dilupakan telah mendorong Cho Chee Min, 65, untuk kembali menghasilkan produk tersebut dan menjualnya kepada orang awam sejak 2019.

Chee Min berkata, pada zaman dahulu, bakul buatan tangan sedemikian sering digunakan sebagai bekas menyimpan telur di dapur dalam kalangan masyarakat Cina.

Begitupun, pendekatan inovatif keluarga Chee Min telah menjadikan bakul tersebut sebagai salah satu produk seni kraf tangan yang bukan sahaja cantik, tetapi juga mampu mengimbau kenangan semasa kecil ramai orang.

Kongsi Chee Min, dia belajar membuat bakul dawai tersebut daripada mendiang bapanya ketika membesar di Mantin, Negeri Sembilan, antara tahun 1960-an sehingga 1970-an.

“Bapa ketika itu mempunyai perniagaan sampingan iaitu menghasilkan alat perkakas dapur.

“Saya dan ahli keluarga termasuk ibu dan juga adik beradik yang lain sering membantu bapa dalam proses penghasilan perkakas tersebut secara manual,” kongsinya ketika dihubungi K2.

Kini, dia menghasilkan bakul dawai dengan rekaan sendiri yang boleh disaksikan menerusi Instagram @theheritagebaskets.my.

Chee Min berkata, dia cuba meniru rekaan bakul yang ditinggalkan oleh mendiang bapanya dan ketika itu dia mulai menyedari bahawa dia amat menghargai seni tersebut.

Meskipun begitu, memandangkan Chee Min bekerja dalam sektor pendidikan sejak sekian lama, dia sudah lama meninggalkan seni tersebut dan hanya kembali menghasilkan produk itu sekitar lima tahun yang lalu.

“Saya mulai kembali membuat bakul dawai ini kerana mahu menghabiskan masa bersama ibu yang sudah tua.

“Aktiviti itu juga adalah untuk memastikan kedua-dua tangan ibu kekal aktif,” jelasnya.

Pada 2019, Chee Min mula memberi bakul tersebut sebagai hadiah buat ahli keluarga dan rakan-rakan.

Bakul dawai secara tradisi digunakan untuk meletakkan bahan-bahan kering, namun kini turut dijadikan hiasan.

Apabila melihat keterujaan mereka saat menerima hadiah tersebut, Chee Min kemudiannya berkongsi hasil kerja tangannya itu menerusi Instagram dengan bantuan anak-anak perempuannya.

Anak perempuan Chee Min, Eleen berkongsi bahawa bakul buatan bapanya itu dihasilkan dengan menggunakan teknik tradisional dan dibakar sedikit bagi menjadikan ia tampak sedikit antik.

Kemahiran Chee Min dalam membuat bakul dawai semakin berkembang, sesuai dengan permintaan.

Biarpun dia masih lagi menghasilkan rekaan sama seperti yang dibuat oleh ibu dan bapanya, namun kebanyakan koleksi baharu Chee Min tampak berbeza dan menyerlahkan rekaannya yang unik.

“Pada 2019, saya menghasilkan bakul dawai yang merupakan gabungan daripada rekaan tradisional yang dibuat oleh bapa dengan rekaan saya sendiri.

“Namun, sehingga hari ini, saya masih lagi menghasilkan rekaan tradisional dan turut menghasilkan semula bakul-bakul yang pernah dibuat mendiang bapa.

“Lama kelamaan, saya turut mencuba rekaan yang lebih halus dan sesuai sebagai barangan perhiasan,” katanya.

Sama seperti barangan kraf tangan yang lain, kraf tangan bakul dawai juga cukup mencabar untuk dihasilkan.

Jelas Chee Min, untuk setiap gerakan anyaman yang dibuat untuk menghasilkan bakul tersebut memerlukan otot jari dan tangan yang kuat, selain menuntut kesabaran yang tinggi, ketahanan dan juga pengalaman.

Besi yang digunakan juga mempunyai tekstur yang keras dan boleh mencederakan jari. Justeru, bagi memastikan bentuk akhir bakul itu seimbang dan kemas, pembuat bakul perlulah mempunyai kemahiran yang tinggi.

Selain itu, Chee Min juga berkata, agak sukar untuk mendapatkan dawai yang mempunyai tahap kelenturan sama, biarpun dibeli daripada pembekal yang sama.

“Jadi, saya perlu sentiasa membiasakan jari jemari saya untuk memastikan bakul itu boleh disiapkan,” katanya.

Biarpun bakul dawai itu merupakan sesuatu yang mampu mengimbau nostalgia kehidupan di kampung, namun Chee Min berkata, proses pembuatannya yang rumit mungkin menjadi sebab generasi muda kurang berminat mempelajari kraf tangan itu.

“Bukan sahaja bakul dawai, namun sebenarnya banyak bentuk seni tradisional kini semakin pupus.

“Walaupun kita tidak boleh memaksa generasi akan datang untuk mengekalkan kemahiran ini, tetapi selagi orang ramai terus menghargai produk tradisional buatan tangan, saya percaya bahawa pelbagai usaha akan dilakukan untuk memastikan ia terus hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN