fbpx

JAS siasat punca sisa klinikal bertaburan di lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara sisa klinikal yang ditemui bertaburan di KM92.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Gurun ke Sungai Petani pada Sabtu lalu.

SUNGAI PETANI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menerima makluman tentang penemuan sisa klinikal berbahaya yang bertaburan di Kilometer 92.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Gurun ke Sungai Petani pada Sabtu lalu.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kira-kira pukul 11 pagi.

“PegawaI Penyiasat JAS negeri kemudian mendapati terdapat satu tong sisa klinikal dengan kandungannya bertaburan di lokasi tersebut.

“Antara kandungan yang ditemui adalah picagari, jarum-jarum terpakai, kit ujian terpakai serta beberapa lagi buangan sisa klinikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh PLUS dengan buangan telah dihantar ke stor Buangan Terjadual di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini untuk diangkut seterusnya dilupuskan di premis yang dilesenkan JAS.

“Kita masih menyiasat punca kejadian yang mana buangan sisa klinikal ini merupakan buangan sisa terjadual di bawah Kod SW 404 yang pengurusannya dikawal di bawah Peraturan Kualiti Alam (Buangan Terjadual) 2005 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” ujarnya.

Kata beliau, pihak yang melakukan perkara itu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah akta berkenaan.

“Pada masa sama, kita juga akan mengeluarkan peringatan kepada semua fasiliti kesihatan seperti klinik dan hospital supaya memastikan bahawa sisa buangan klinikal hanya diberikan kepada kenderaan pengangkut yang berlesen dengan JAS,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, hanya kenderaan pengangkut yang berdaftar dengan JAS sahaja dibenarkan mengangkut buangan seperti itu dengan pelupusan hanya dibuat di premis-premis dilesenkan JAS.

“Pengendali dan pengangkut perlu berhati-hati dan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Sisa klinikal tidak terawat mengandungi pelbagai patogen yang boleh tersebar dan membahayakan kesihatan.

“Sekiranya ternampak sisa klinikal, orang awam dinasihatkan tidak menghampirinya dan melaporkan kepada JAS dengan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI