fbpx

Dewan Negara: KKD tingkat kefahaman rakyat isu ekonomi semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nie Ching di Dewan Negara hari ini. -Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi jabatan dan agensi dibawahnya komited melaksanakan tindakan komunikasi secara berterusan dalam menyebar luas dan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap ekonomi semasa menerusi pemasaran maklumat di pelbagai platform komunikasi.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, antara usaha dan langkah yang telah dilaksanakan ialah melalui program di televisyen dan radio oleh RTM yang telah menyediakan program dalam pelbagai bahasa antaranya Bicara Naratif atau Naratif Khas, Biz Malaysia, Selamat Pagi Malaysia, Vasantham (program bual bicara berbahasa Tamil) dan What Say U (Mandarin).

Beliau berkata, bermula Januari hingga 30 November, saluran TV1,TV2 dan TV Okey juga telah mengulang siar kira-kira 100 kapsul Pesanan Khidmat Awam (PKA), promo dan klip video pendek berkaitan isu ekonomi.

“RTM turut menyiarkan pembentangan Belanjawan secara langsung di semua platform penyiaran RTM dan penerbitan program-program susulan atau pasca belanjawan bagi membincangkan intipati belanjawan dengan lebih terperinci.

“Selain itu, sehingga 30 November, sebanyak 1,360 pelaporan berita dalam format berita TV telah disiarkan manakala 1,696 lagi dalam format berita radio,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jonanis Abd. Aziz yang meminta kerajaan menyatakan sama ada terdapat cadangan untuk memberi penerangan kepada rakyat di akar umbi berkenaan ekonomi semasa dan isu-isu yang membelenggu negara.

Sementara itu, Nie Ching memaklumkan pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga sentiasa menghasilkan berita-berita mengenai perkembangan ekonomi negara dan dunia, analisis daripada pakar serta forum diskusi menerusi pelbagai rancangan televisyen dan radio untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap isu ekonomi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI