fbpx

Abang Adik, filem Malaysia cipta rekod pecah panggung di Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM sulung arahan sutradara kelahiran Taiping, Perak, Jin Ong berjudul Abang Adik terus mencipta kejayaan di Taiwan apabila mencipta rekod pecah panggung dengan kutipan NT$40mil (RM6.5 juta).

FILEM karya pengarah kelahiran Taiping, Perak, Jin Ong berjudul Abang Adik mencipta sejarah tersendiri apabila memecah rekod panggung di Taiwan dengan kutipan NT$40mil (RM6.5 juta) dalam tempoh 10 hari tayangan.

Pengarahnya, Lay Jin Ong berkata, sebaik dimaklumkan pengedar mengenai perkara tersebut , dia menangis gembira dengan satu persatu kejayaan diraih filem sulung arahannya.

“Sebenarnya saya agak takut tayangkan Abang Adik di Taiwan kerana bimbang mungkin jadi seperti filem lain sebelum ini, namun akhirnya menangis apabila kini dapat mengumpul RM6.5 juta (NT$40mil).

“Belum ada filem Malaysia yang pernah ditayangkan di Taiwan mencatat rekod ini, sekali gus membuatkan harapan saya pada Abang Adik dapat diterima khalayak tempatan,” katanya selepas sidang media, semalam.

Hadir sama pada sesi tayangan filem serta wawancara bersama media ialah bintang utamanya yang juga aktor Thailand, Wu Kang Ren, 41.

Sutradara itu juga teruja menanti respons masyarakat Malaysia pada 14 Disember ini yang bakal menyaksikan naskhah terbitan More Entertainment Sdn Bhd bersama New Century Southward Development Co LtD itu mendominasi 82 pawagam di seluruh negara.

“Memang ada keyakinan untuk kami menayangkan filem ini di Malaysia kerana selain pasaran untuk penonton berbangsa Cina, kami juga mengharapkan khalayak Melayu, India serta kaum lain kerana kisah ditonjolkan adalah mengenai isu kemasyarakatan.

“Malah ketika saya ke sesi penapisan filem di Lembaga Penapis Filem (LPF), ada antara kenalan saya pada ketika itu mengirimkan mesej kerana sangat suka dengan plot serta kisah yang kami ketengahkan.

“Isu tiada kad pengenalan akibat insiden kebakaran hingga surat beranak hangus, selain hubungan persaudaraan tanpa ikatan sedarah membawa penonton menghayati erti kemanusiaan,” ujarnya.

Abang Adik yang berlatarkan kawasan tersembunyi tengah ibu negara mengangkat kisah dua lelaki tanpa dokumen termasuk seorang daripadanya orang kelainan upaya pendengaran (OKU) mengharungi kehidupan sukar.

Tanpa dokumen, mereka berdepan risiko ditahan pihak berkuasa biarpun dilahirkan sebagai anak Malaysia membuatkan filem gandingan aktor tempatan, Jack Tan bersama Kang Ren itu sangat menyentuh hati.

Pada November lalu Kang Ren diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem terbabit.

Abang Adik turut mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama pada Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.

Naskhah berkenaan membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry bagi kategori filem cereka terbaik. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI