fbpx

K2

Tasik Anjung Floria Putrajaya lubuk pelbagai spesies ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAHIRAN ketika beraksi menaikkan ikan bersaiz besar ketika memancing di tasik Anjung Floria, Putrajaya.

HOBI memancing sangat sinonim dengan golongan lelaki, walaupun tidak dinafikan ia turut diminati sesetengah wanita.

Bagi kaki pancing yang tinggal di kawasan kampung dan pedalaman, mereka mempunyai banyak pilihan untuk memancing memandangkan terdapat pelbagai lokasi seperti sungai, tasik dan kolam yang boleh dituju dan terletak berhampiran dengan mereka.

Namun, bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, pilihan yang ada tidaklah terlalu banyak.

Walaupun begitu, ia tidak menjadi penghalang untuk ‘kaki pancing’ melunaskan hobi mereka kerana terdapat beberapa lokasi memancing yang boleh dijadikan ‘port’ untuk memburu pelbagai spesies ikan.

Bagi Muhammad Syahiran Shair, 31, hobi memancing yang telah sebati dengan dirinya sejak usia kanak-kanak tidak pernah ditinggalkan walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai jurutera di sebuah syarikat automotif.

“Disebabkan saya tinggal di Lembah Klang, saya perlu cari beberapa ‘port’ untuk memancing yang mudah diakses.

“Selain beberapa lokasi sungai di sekitar Kajang, Bangi dan Sepang, saya juga kerap memancing di beberapa kawasan tasik yang ada di Putrajaya.

“Antara tasik yang kerap saya kunjungi ialah Anjung Floria di Presint 4 yang merupakan antara tasik yang menjadi lubuk ikan air tawar,” katanya.

Ikan tongsan seberat lebih 13 kilogram berjaya ditaklukinya di tasik Anjung Floria baru-baru ini.

Menurut Syahiran, walaupun ia tasik awam, tetapi aktiviti memancing sememangnya dibenarkan di kawasan itu dengan dikenakan sejumlah bayaran sekitar RM50 bagi sebatang joran.

Walaupun begitu katanya, bayaran tersebut dianggap berbaloi memandangkan tempoh masa memancing yang dibenarkan agak panjang, selain tasik tersebut dihuni oleh pelbagai spesies ikan air tawar.

Jelasnya, jika dia tidak memancing di kawasan sungai dan tasik lain, dia akan berkunjung ke tasik Anjung Floria bagi memburu beberapa spesies seperti tongsan, toman dan ikan diamond.

Spesies lain yang turut mendiami tasik berkenaan termasuklah temoleh, kelah merah, jelawat, lampam dan rohu.

“Jika memancing di sini, biasanya saya akan menggunakan umpan dedak yang dibancuh bersama beberapa jenis perisa selain umpan roti peram.

“Saya juga akan gunakan teknik ‘bottom’ di mana umpan dedak tersebut akan dikepal pada mata spring sebagai penarik ikan untuk menghampiri mata kail.

“Kepalan dedak ini akan berada di dasar tasik, manakala umpan roti peram pula dicakuk pada mata kail untuk dibaham pemangsa,” katanya.

Mengenai set joran digunakan, Syahiran memberitahu kebiasaannya dia menggunakan set untuk aksi sederhana dengan tali utama bersaiz 30 paun.

Namun, ia akan dipadankan dengan batang rod lebih panjang antara 12 kaki hingga 15 kaki bagi membolehkan umpan dilempar lebih jauh ke tengah tasik.

Syahiran menunjukkan ikan toman saiz besar yang berjaya dinaikkan di tasik awam di Putrajaya itu.

Bercerita mengenai aktiviti memancing terbaharu yang dilakukan di tasik tersebut, Syahiran memberitahu dia pergi bersama beberapa orang rakannya yang juga kaki pancing.

“Pada dua jam pertama, kami hanya berjaya menaikkan ikan bersaiz kecil. Malah, ada suatu ketika umpan kami langsung tidak dijamah oleh ikan menyebabkan kami anggap ‘tiada rezeki’ pada hari itu.

“Namun, selepas beberapa jam menunggu, akhirnya penantian kami berbaloi apabila berjaya menaikkan beberapa ekor ikan bersaiz besar.

“Antaranya ialah ikan tongsan sisik kasar seberat 13.7 kilogram (kg) selain toman seberat 8.8kg,” ujarnya.

Jelasnya lagi, ia mungkin hasil daripada teknik pancingan ‘bottom’ yang digunakan dengan melemparkan umpan pada lokasi sama berulang kali.

Teknik itu katanya, mampu ‘menarik’ deria ikan untuk berkumpul di lokasi tersebut bagi memakan sisa umpan yang ada, sekali gus membaham mata kail yang berisi umpan.

Malah, dia percaya masih ada ikan saiz gergasi mendiami tasik itu, namun mungkin belum memunculkan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI