fbpx

Jenayah penipuan kewangan, scam beri risiko kepada negara – Fadillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah ketika merasmikan Majlis Penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya Marriott Hotel, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Jenayah penipuan kewangan dan scam memberi risiko yang sangat besar terhadap negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah berkata, ini kerana kesan langsung jenayah kewangan secara terancang (organised financial crime) boleh menyebabkan negara mengalami kerugian kewangan.

Katanya, menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah dalam talian meningkat sebanyak 37 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2023 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu dari 23,608 kes kepada 32,366 kes.

“Ini melibatkan nilai kerugian sebanyak RM1.13 bilion, meningkat sebanyak 46 peratus berbanding tahun 2022,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya Marriott Hotel, hari ini.

Jelasnya, langkah-langkah proaktif bagi melindungi maklumat peribadi dan data sensitif negara perlu diutamakan bagi memastikan integriti sistem digital dan keselamatan negara kekal utuh.

“Selain itu, jalinan kerjasama antara pelbagai entiti perlu dipupuk di antara pihak kerajaan, organisasi swasta, sektor perniagaan dan juga individu khususnya dalam membangunkan strategi komprehensif bagi menangani ancaman dalam lanskap siber yang sentiasa berkembang dan semakin dinamik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadillah menyeru semua penjawat awam untuk memberi perhatian yang sewajarnya tentang isu penipuan kewangan, modus operandi dan tips pencegahan pelbagai jenis scam.

Tambahnya, penjawat awam juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu keselamatan siber serta sentiasa berwaspada sewaktu menggunakan teknologi dan internet.

“Penjawat awam juga merupakan agen pelaksana yang memastikan pelbagai inisiatif dan program kerajaan diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang efektif, dedikasi dan berintegriti, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

“Justeru, semua penjawat awam harus sentiasa mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui pelbagai kaedah pembangunan bakat dan profesionalisme bagi mengekalkan legasi kecemerlangan perkhidmatan awam yang mampu mendokong agenda pembangunan dan kesejahteraan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI