fbpx

Insya-Allah, blackout di CIQ BSI tidak berulang – Exco Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video yang dikongsi di aplikasi TikTok yang memaparkan keadaan semasa gangguan bekalan elektrik di CIQ, Tambak Johor, kelmarin.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memberi jaminan gangguan bekalan elektrik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) sehingga menyebabkan ‘blackout’ Selasa lalu tidak akan berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, beberapa langkah penyelesaian telah dirangka dan akan mula dilaksana tahun depan.

Menurut beliau, ini termasuklah usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenal pasti punca bekalan elektrik baharu bagi bangunan berkenaan.

“Buat masa ini terdapat dua punca bekalan elektrik, iaitu satu laluan terus TNB dan tujuh set generator sebagai bekalan tambahan. Namun kita merancang untuk menambah satu lagi Pencawang Pembahagian Utama (PPU) sebagai laluan terus kedua bekalan elektrik dari TNB.

“Buat masa ini TNB sedang kenal pasti beberapa laluan punca bekalan bersesuaian dan akan mencadangkan kepada kerajaan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

MOHAMAD FAZLI (dua dari kiri) menerangkan usaha yang akan diambil pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan elektrik di CIQ BSI.

“Kerja-kerja itu dijangka bermula tahun depan dan akan memakan masa kira-kira setahun untuk selesai dilaksana sepenuhnya. Insya-Allah selepas itu tiada lagi insiden seperti kelmarin,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat pasukan khas banjir kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.

Tambah Mohamad Fazli, apabila langkah itu siap kelak, CIQ BSI akan mempunyai tiga punca bekalan elektrik iaitu dua laluan terus dari TNB serta satu bekalan tambahan sendiri melalui tujuh set generator.

“Selepas ini apabila ada kerja-kerja penyelenggaraan, akan ada satu laluan terus alternatif daripada pencawang TNB dan sekiranya ada gangguan juga, akan ada ‘back up’ daripada tujuh set generator,” jelasnya.

Kelmarin, pengguna laluan tersebut mengadu di media sosial apabila CIQ BSI mengalami gangguan bekalan elektrik selama lebih 12 jam dipercayai bermula pukul 8 malam sehingga 10 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI