MATA wanita itu tidak lekang melihat bagaimana pengajar menunjukkan demonstrasi membalut hadiah menggunakan sehelai kain berbentuk segi empat sama.
Dengan penuh minat, dia mengikuti setiap langkah yang ditunjukkan untuk lebih memahami seni yang diinspirasikan daripada tradisi Jepun iaitu furoshiki.
Menurutnya yang merupakan pengarah filem, Isabella Tan, 29, dia tertarik untuk belajar tentang seni balutan klasik berkenaan kerana perkara itu unik dan pada masa sama menyumbang kelestarian alam sekitar.
“Saya memang meminati seni kreatif dan tahu serba sedikit tentang seni membalut menggunakan kain ini memandangkan nenek berasal dari Jepun.
“Meskipun tahu, saya tidak kerap mempraktikkannya dan hanya pernah sekali menjadikan kain sebagai beg tangan untuk memadankannya bersama baju dalam satu acara,” katanya ketika ditemui K2 semasa bengkel seni membalut hadiah secara mapan di restoran LaGula by The Hungry Tapir, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah wanita yang turut bekerja di Amerika Syarikat itu, seni membalut dengan kain ini turut popular di negara Barat dan menjadi amalan lestari masyarakat di sana.
Katanya lagi, dia tidak menyangka seni tersebut sebenarnya mudah untuk dilakukan kerana baginya sebelum ini, seni itu kelihatan sukar apabila ditonton menerusi video di media sosial.
Tambahan pula, setelah pelajarinya, dia dapat lihat dengan lebih jelas bagaimana seni ini menyumbang usaha kecil kelestarian alam apabila dipadukan bersama konsep kitar semula.
Berbanding balutan hadiah dengan kertas pembalut yang lazimnya dibuang saja, penggunaan kain boleh diulang pakai.
Di Jepun, secara tradisionalnya penggunaan kain untuk balutan atau membawa barang dipanggil furoshiki.
Seni balutan kain furoshiki ini sebenarnya boleh menggunakan apa juga jenis kain, cuma di Jepun, terdapat sejenis kain bermotif yang dipanggil kain furoshiki kerana kain itu lazimnya digunakan untuk membuat balutan.
Seni balutan kain furoshiki dari Jepun dipraktikkan sejak zaman dahulu oleh penduduk di sana.

Kain ini biasanya berbentuk segi empat sama dan mempunyai pelbagai motif. Ia wujud bermula pada zaman pemerintahan Nara sekitar 710 sebelum Masihi.
Pada masa itu, furoshiki dipanggil tsutsumi dan semasa era Heian ia dipanggil koromo-zutsumi.
Pada masa dahulu, fungsi utama furoshiki adalah untuk membungkus barang-barang penting dan khazanah yang terdapat di kuil Jepun.
Apabila masa berlalu, furoshiki boleh digunakan untuk pelbagai keperluan dalam kehidupan seharian.
Furoshiki digunakan sebagai pengganti beg plastik kerana mesra alam dan boleh digunakan secara berterusan. Seni ini juga sangat popular kerana sangat praktikal.
Terdapat pelbagai jenis kain yang digunakan seperti kapas, nilon, rayon, sifon dan sutera.
Mengambil konsep sama, pengajar bengkel seni membalut kain, Lorraine Lee Sze Mei, 31, memberitahu dia sudah mengamalkan konsep membalut dengan kain seiring dengan perkembangan produk subang telinganya iaitu Talee.
Katanya, konsep itu menarik perhatiannya kerana dengan menggunakan kain, ia bukan sekadar menyumbang kelestarian tetapi turut mengetengahkan keindahan kain buatan tempatan dengan cara unik serta kreatif.
“Saya belajar banyak tentang cara membalut menggunakan kain secara dalam talian dan kemudian mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
“Pada masa sama apabila saya mulakan jenama Talee iaitu subang telinga daripada ikatan tali, konsep sama digunakan untuk pembungkusan produk itu,” ujar wanita asal Kota Kinabalu, Sabah itu yang menunjukkan seni balutan tersebut menggunakan kain kapas berwarna hijau zaitun.
Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, konsep itu turut menjadi identiti jenamanya apabila dia turut menyarankan kepada pelanggan bahawa kain pembungkusan itu boleh digunakan semula.
Berkongsi tentang bagaimana untuk membalut menggunakan kain seperti yang menjadi amalan penduduk di Jepun, Lorraine memberitahu, perkara utama adalah memilih kain yang sesuai.
Jelasnya, biasanya kain yang digunakan haruslah fleksibel dan nipis, jadi mudah diikat bagi membalut hadiah atau dijadikan beg kantung.
“Terdapat pelbagai teknik yang boleh dilakukan untuk membalut, namun untuk lebih mudah, kain itu perlu berbentuk segi empat sama dan saiznya juga mesti dilaraskan mengikut keperluan.
“Jika dalam seni furoshiki, terdapat banyak teknik membalut yang boleh dirujuk, namun ia sebenarnya bergantung kepada kreativiti masing-masing,” katanya.
Kongsinya lagi, cara ini juga tidak terlalu mementingkan kerapian kerana setiap cara pembungkusan mempunyai nilai estetik tersendiri yang menjadikan setiap hadiah lebih tersendiri.
Katanya, di Malaysia pula teknik ini boleh menggunakan pelbagai jenis fabrik antaranya batik, songket lembut atau tudung bawal keluaran tempatan.
Hal ini turut menarik perhatian penganjur yang juga pengasas platform jualan produk lestari, Dia Guild, Aisha Hassan, 29 untuk menganjurkan bengkel berkenaan.
Katanya, selaras dengan platformnya yang mengetengahkan konsep lestari, seni membalut dengan kain ini adalah satu inisiatif untuk meluaskan penggunaan kain dan memanfaatkan fabrik tempatan yang tidak lagi digunakan.
“Konsep ini boleh diterapkan dalam masyarakat untuk mempertimbangkan semua kain tidak terpakai menjadi sesuatu yang boleh dimanfaatkan.
“Pada masa sama, ia adalah usaha yang boleh menyumbang kepada pengurangan sisa kerana tidak seperti kertas pembalut hadiah ia boleh digunakan berulang kali, malah menjadikan sesuatu pemberian lebih istimewa dan bermakna buat penerima,” kongsinya.














