fbpx

Malaysia tidak setuju sebarang bentuk keganasan – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah berkenan bertitah menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-13 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. Fotot oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Malaysia menolak segala bentuk keganasan terhadap individu tidak berdosa dalam sesuatu konflik bersenjata.

Titah Seri Paduka, ia termasuk tindakan pengeboman ke atas orang awam, hospital dan sekolah serta pemotongan bekalan air, makanan serta elektrik kepada orang awam.

“Sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, menjadi tanggungjawab Malaysia untuk menolak semua bentuk keganasan yang bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan antarabangsa.

“Barisan kepimpinan negara termasuk pemimpin dalam bidang keselamatan dan pertahanan hendaklah sebilang masa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keamanan serta kemanusiaan sejagat.

“Beta khuatir jika kita tidak menerapkan prinsip-prinsip terbabit mulai sekarang, nescaya sebarang pertikaian pada masa hadapan akan berakhir dengan konflik bersenjata yang mengenepikan segala bentuk rasional kemanusiaan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-13 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan tema ‘Graduan Madani, Kesejahteraan Masa Hadapan’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UPNM bertitah, dalam era serba mencabar kini, peranan institusi pengajian tinggi (IPT) menuntut anjakan paradigma baharu ke arah kecemerlangan sebagai institusi sandaran rakyat dan negara.

Justeru, titah Seri Paduka, pihak berkenaan seperti UPNM sebagai sebuah universiti pertahanan premier di rantau ini, bertanggungjawab melahirkan pemimpin masa hadapan dalam menjaya serta mempertahankan kelangsungan kepentingan strategik negara.

“Universiti ini (UPNM) hendaklah sentiasa berpegang kepada falsafah dan visi penubuhannya. Lantaran itu, universiti ini perlu mendepani cabaran realiti geopolitik semasa dengan bijaksana dan sentiasa meneroka serta mengenal pasti bidang-bidang baharu dalam landskap keselamatan dan pertahanan.

“Kepelbagaian ilmu baharu dalam bidang ini perlu diamati serta dikaji rapi dengan teliti, dan selanjutnya universiti ini hendaklah menawarkan idea-idea baharu serta kerangka strategi yang sesuai dengan keperluan mutakhir keselamatan dan pertahanan negara.

“Mengambil kira konflik bersenjata sedang berlaku di pelbagai pelosok dunia ketika ini, UPNM wajar dijadikan sebuah pusat utama dalam menerapkan kefahaman dan pematuhan masyarakat serta pemimpin masa hadapan negara terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” titah Seri Paduka. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI