fbpx

Dua lelaki menyamar pekerja TM curi kad sistem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAD sistem yang dicuri di kabinet milik TM di Slim River semalam.-IHSAN PDRM

TANJUNG MALIM – Tindakan licik dua lelaki menyamar sebagai pekerja Telekom Malaysia (TM) ketika mencuri kad sistem di kabinet milik TM tumpas apabila diberkas di Slim River semalam.

Tangkapan terhadap suspek berusia 37 dan 42 tahun itu dilakukan anggota Balai Polis Slim River pada pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, ketika melakukan tugas rondaan, anggota telah terserempak dua lelaki memakai pakaian berlogo TM yang sedang membuka kabinet kad sistem berhampiran sebuah stesen minyak.

Katanya, anggota polis kemudiannya cuba menghampiran kedua-dua lelaki itu namun mereka melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord.

“Polis bertindak mengejar kenderaan itu dan mereka berjaya ditahan di tepi Jalan Ibrahim Mohd. Dom. Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menjumpai 21 unit kad sistem TM pelbagai jenis dan peralatan untuk mengumpil kabinet TM.

“Dalam tangkapan itu, kita turut merampas dua helai baju berlogo TM dan helmet keselamatan yang dipakai kedua-dua suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek itu berasal dari Shah Alam dan Petaling Jaya dengan seorang daripada mereka pernah ditangkap di Klang dan dituduh di Mahkamah Majistret Tanjung Malim pada Ogos lalu.

Katanya, dengan tertangkapnya suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes kecurian kad sistem TM di daerah Muallim membabitkan kerugian RM350,530. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI