fbpx

[VIDEO] Pemandu Bezza dikejar 28 MPV ada 10 rekod jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua suspek yang ditahan (kiri) dan kereta Perodua Bezza yang dikejar sejauh 50 kilometer oleh MPV polis, di Petaling Jaya, malam tadi.

PETALING JAYA – Pemandu kereta jenis Perodua Bezza yang dikejar 28 unit peronda polis (MPV) dalam satu video tular semalam mempunyai rekod masih dikehendaki bersabit kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Berdasarkan semakan juga, suspek warga tempatan berusia 27 tahun itu mempunyai 10 rekod lampau lain dimana enam daripadanya melibatkan kesalahan jenayah manakala empat lagi kesalahan dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada awal kejadian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima makluman kira-kira pukul 1.42 pagi.

Ujarnya, suspek lari dari pemeriksaan polis semasa berada di bahu Jalan Utara, di sini dengan memasuki Lebuh Raya Persekutuan menuju Shah Alam.

“Semasa tiba di Jalan PJS 6/1 Sungei Way, di sini, kenderaan suspek merempuh anggota unit rondaan bermotosikal sehingga mengalami kecederaan.

“Hebahan bantuan dilakukan dan sejumlah 28 buah MPV dari IPD Sepang, Serdang, Subang Jaya dan anggota dari cawangan D4 IPD di sini ditugaskan untuk mengejar kenderaan suspek lebih 50 kilometer.

“Suspek dikejar melalui Lebuh Raya Damansara Puchong dan Lebuh Raya Baru Pantai sehingga berjaya ditahan di Bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, terdapat pisau, gunting, sarung tangan, topi keledar, kad pengenalan individu lain dan kad debit ditemui dalam kereta berkenaan.

“Pemandu tersebut ditahan bersama seorang wanita yang juga warga tempatan berusia 21 tidak mempunyai rekod lampau.

“Kedua-dua suspek di bawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan dibenarkan tahanan reman di bawah Sekayen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” ujarnya.

Ujar beliau, kes ini juga dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI