fbpx

PDRM akhiri penantian hampir sedekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PDRM mengesahkan kejuaraan Piala Cabaran selepas menundukkan Kuching City dengan agregat 4-1 pada final kedua kelmarin. - FB PDRM FC

SKUAD Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) puas dapat menamatkan penantian sembilan tahun apabila berjaya menjulang trofi Piala Cabaran 2023 selepas menewaskan Kuching City 4-1 secara agregat kelmarin.

Pada aksi final kedua di Stadium Negeri, Kuching, The Cops yang memiliki kelebihan 3-1 berjaya mengekang asakan tuan rumah untuk memastikan keputusan berakhir dengan seri 1-1.

Ketua jurulatih PDRM FC, Datuk Ahmad Yunus Alif menarik nafas lega kerana anak-anak buahnya sudah menghadiahkan ‘bonus’ berganda buat pengurusan selepas mencapai objektif yang ditetapkan.

“Kami sangat gembira apabila dapat muncul juara Piala Cabaran. Sebenarnya kita sudah pun mencapai matlamat dengan sasaran pihak pengurusan adalah untuk meraih 31 mata bagi saingan liga.

“Namun, kita berjaya mencapai keputusan lebih baik dan mungkin kita boleh mula membuat perancangan pada musim depan dengan mendapatkan dua atau tiga pemain baru untuk diberi pendedahan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan, Ahmad Yunus mengakui barisan pemain hampir ‘gigit jari’ selepas beraksi hambar pada babak pertama sehingga membuka ruang buat pasukan The Cats menjaringkan gol.

“Harus diakui pasukan kita agak tertekan pada babak pertama kerana terdesak untuk mempertahankan kelebihan jaringan. Namun, situasi tersebut memakan diri apabila kita melakukan kesilapan dan lawan menjaringkan satu gol.

“Pada babak kedua, saya ingatkan kepada pemain untuk berwaspada dan main seperti biasa. Selepas kita menjaringkan gol penyamaan, semangat lawan semakin luntur dan kita berjaya menang aksi final kali ini,” katanya.

Ini adalah edisi ketiga Piala Cabaran sejak diperkenalkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 2018 dengan pasukan Terengganu FC II bergelar juara pertama manakala Johor Darul Ta’zim II menang edisi 2019.

Piala Cabaran tidak diadakan pada edisi 2020, 2021 dan 2022 kerana pandemik Covid-19.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI