fbpx

Dewan Negara: 5,319 kes buli murid sekolah setakat Oktober lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,319 kes buli membabitkan murid sekolah telah direkodkan berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) sehingga Oktober lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah tersebut seramai 4,787 murid iaitu 0.09 peratus murid direkodkan terlibat salah laku buli.

“Kita sentiasa memantau kes-kes buli daripada semua medium aduan. Segala faktor, sebab dan punca serta proses bagaimana kes buli ditangani memang kita pastikan ia jelas daripada segi siapa pelaku, mangsa dan sebagainya.

“Dalam erti kata mudah kes buli mudah dikenal pasti dan puncanya juga mudah untuk ditangani berdasarkan pengalaman dan isu-isu serta proses menangani isu buli tersebut,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah berhubung statistik peningkatan kes buli yang berlaku di sekolah-sekolah dan usaha yang diambil kerajaan untuk mengatasi masalah itu.

Fadhlina berkata, terdapat tujuh usaha yang diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan gejala itu ditangani.

Kata beliau, ia termasuk mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2002: Pelaksanaan Program Sekolah Selamat yang dilaksanakan di semua sekolah seluruh negara.

Menurut beliau, bagi memantau dan mengambil langkah proaktif, KPM mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 6 Tahun 2000: Menangani Masalah Keselamatan, Dadah dan Gengster.

“Antara tindakan yang perlu diambil oleh pihak sekolah mengadakan peti aduan di sekolah dan asrama, mengukuhkan Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan Asrama serta mengambil tindakan dan menghukum murid melakukan perbuatan buli di sekolah atau asrama.

“Jawatankuasa anti buli telah diwujudkan di setiap JPN melalui Jawatankuasa Menangani Gejala Disiplin Negeri.

“Mengadakan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). Setiap sekolah menengah dan sekolah rendah mempunyai seorang PPS yang sentiasa mendampingi dan bekerjasama dengan pihak sekolah.

“Menyediakan empat saluran utama Portal Aduan Buli iaitu melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, e-mel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp bagi membolehkan warga sekolah termasuk murid dan ibu bapa serta orang awam membuat aduan terus,” katanya.

Selain itu, kata beliau, pada 22 September lalu KPM melancarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan.

Jelas beliau, garis panduan itu menjadi rujukan kepada semua pihak berkepentingan di institusi pendidikan dalam menjelaskan kefahaman tentang salah laku buli, tatacara menanganinya dan implikasi serta peranan dalam pengurusan salah laku buli.

Tambah beliau, KPM juga telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli Di Institusi Pendidikan Bawah KPM. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI