fbpx

Mansuh UPSR: Ada ibu bapa guru masih ragu-ragu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perbincangan mengenai isu pemansuhan Ujian Pencapai­an Sekolah Rendah (UPSR) dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) pada 2021 dilihat belum selesai.

Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki berkata, pencapaian ujian kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah rendah disebabkan tiada sistem penilaian berpusat untuk menilai potensi sebenar pelajar.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berpendapat isu timbul kerana ibu bapa dan guru masih skeptikal terhadap PBSBBS dan PDB yang baru diperkenalkan.

“Sebilangan ibu bapa dan guru melihat PBS dan PBD tidak sama seperti UPSR, namun bukan salah mereka kerana Malaysia sudah mengamalkan peperiksaan itu sejak tahun 1988.

“Pemansuhan UPSR dilihat bukan isu sebenar, namun ia masih hangat dibincangkan disebabkan kegagalan pihak berkaitan untuk menerangkan kebaikan PBS dan PBD.

“Pemahaman mengenai PBS dan PBD tidak diberikan dengan jelas. Saya berpendapat tiada keperluan untuk laksana sistem peperiksaan berpusat di sekolah rendah dan melabelkan anak-anak itu cemerlang, sederhana atau lemah kerana mereka baru berusia 12 tahun,” katanya.

Menurut beliau, prinsip asas penubuhan sekolah rendah untuk mencari nilai terbaik dalam setiap individu, bukan mencari pelajar terbaik.

“Jika sebuah sekolah ada 500 pelajar, pihak sekolah wajib ketahui dan cungkil potensi setiap mereka. Berbeza dengan sekolah menengah, pelajar perlu pe­periksaan agar mereka dipilih untuk masuk ke universiti atau sektor pekerjaan.

“Pemilihan tidak diperlukan di sekolah rendah, namun proses pendidikan perlu ke arah membangunkan pelajar,” ujarnya.

Jelas Anuar, kajian mengesahkan kecemerlangan murid sekolah rendah ditentukan oleh faktor persekitaran seperti latar belakang keluarga dan sekolah, bukan diri mereka sendiri.

“Di peringkat menengah atau universiti, pelajar sendiri menjadi faktor utama kecemerla­ngan mereka dengan menetapkan disiplin, kemahuan untuk berjaya dan motivasi dalam diri.

“Namun, kejayaan anak-anak di sekolah rendah ditentukan oleh ibu bapa dalam memantau pendidikan mereka,” katanya.

Tambah beliau, situasi ini tidak adil apabila mengatakan murid di pedalaman atau memiliki latar belakang keluarga miskin lemah kerana prestasi akademik tidak disokong faktor persekitaran yang baik.

“Apabila UPSR dimansuhkan, kita sepatutnya membuat persiapan rapi kerana kegagalan itu akan menyebabkan masyarakat keliru dengan hala tuju masa depan anak-anak.

“Jika guru tidak diberikan persiapan lengkap untuk melakukan pentaksiran bilik darjah, tetapi masih amalkan pengajaran ber­asaskan peperiksaan, sudah tentu tujuan tidak tercapai.

“Contohnya di negara-negara mengamalkan PBD, kelas mereka tidak ramai murid, guru diberi kemahiran melaksana aktiviti dalam kelas dan murid bemotivasi untuk peperiksaan, tetapi bersemangat dengan aktiviti dikendalikan oleh guru.

Tambah Anuar, ibu bapa yang memahami dengan jelas dan yakin dengan PBD tidak akan menimbulkan semula isu pemansuhan UPSR kerana PBD diyakini lebih baik dalam mengukur pelajar secara menyeluruh dari segi sahsiah, kepimpinan, kecergasan, akhlak dan motivasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI