fbpx

Langgar SJR: Anggota polis stabil, ada ketulan darah beku di kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis yang cedera dibawa ke ambulans untuk rawatan lanjut di Hospital Shah Alam. Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Keadaan anggota polis yang dilanggar semasa sekatan jalan raya (SJR) Op Samseng Jalanan di Persiaran Perbandaran Seksyen 14, kelmarin kini dilaporkan stabil.

Koperal Ahmad Haizaki Salimon, 42, masih ditempatkan di wad kecemasan Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan ketulan darah beku pada bahagian belakang kepala mangsa.

Katanya, ini susulan daripada hentakan yang kuat akibat dilanggar semasa kejadian.

“Bagi suspek (penunggang motosikal) pula akan menjalani pembedahan mata akibat terdapat kesan pendarahan pada belakang mata kesan kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang anggota polis cedera buat kali kedua selepas dilanggar penunggang motosikal yang cuba melarikan diri ketika operasi SJR dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin.

Sebelum ini, koperal tersebut pernah cedera masa bertugas SJR di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15 di sini pada Jun 2019.

Mohd. Iqbal menegaskan tindakan suspek melarikan diri daripada SJR dengan melawan arus disebabkan hanya tidak mempunyai cermin pandang sisi meskipun mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang belum tamat tempoh.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau.

“(Setakat ini) suspek tidak direman memandangkan terus dibawa ke hospital dan akan menjalani pembedahan di bahagian mata,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 serta 307 Kanun Keseksaan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI