fbpx

Lori elak motosikal punca wanita hamil, ibu terkorban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Perodua Bezza dinaiki dua wanita yang maut akibat dirempuh lori di Jalan Kolon, Pokok Sena dekat Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Kemalangan yang meragut nyawa seorang wanita hamil dan ibunya berpunca daripada sebuah lori yang dipercayai terbabas kerana mahu mengelak motosikal di Jalan Kolon, Pokok Sena di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.55 pagi itu, dua beranak tersebut iaitu Nadzifah Abu Seman, 28, dan Romadiah Ismail, 65, yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza maut di lokasi kejadian akibat parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian lori itu dalam perjalanan dari Alor Setar ke Pokok Sena.

Tiga lagi kenderaan yang terbabit dalam nahas itu adalah Perodua Bezza, Perodua Axia dan Toyota Hilux dari arah bertentangan.

“Nahas dipercayai berlaku apabila lori itu dipercayai menekan brek kerana mahu mengelak sebuah motosikal nombor pendaftaran tidak pasti di hadapan laluannya.

“Lori itu kemudian terbabas ke kanan dan masuk laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Bezza,” katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, kenderaan berat itu seterusnya melintang di tengah jalan dan terbalik sebelum dilanggar Perodua Axia dan Toyota Hilux.

“Pemandu dan penumpang Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya yang memberitahu siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI