fbpx

Dua jam hujan, rumah ‘tenggelam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASIAH DOBOK menunjukkan rak khas yang dibina untuk meletakkan barangan di rumahnya di Lorong Dua, Kampung Baru, Kluang semalam.

KLUANG – Tidak perlu menunggu musim tengkujuh untuk banjir, hanya hujan dua jam air sudah bergenang dalam rumah.

Itulah nasib dialami empat keluarga yang tinggal di Lorong Dua, Kampung Baru, dekat sini apabila dilanda musibah selepas hujan walaupun ketika musim kemarau.

Bimbang dengan keadaan itu, mereka terpaksa membina satu rak khas untuk meletakkan barang-barang selain membina tembok tinggi kira-kira sete­ngah meter di pintu rumah untuk menghalang air.

Saim Tumin, 84, berkata, fenomena itu sudah berlaku le­bih 10 tahun lalu selepas beberapa taman perumahan baharu dibina di belakang dan hadapan kediaman penduduk di Lorong Dua ini.

Katanya, secara kebetulan, rumah serta dua buah rumah sewa yang dibinanya berada di kawasan rendah serta berdekatan longkang yang mengalirkan air dari dua buah taman di bahagian belakang ke longkang utama di hadapan rumah.

“Kadang-kadang air yang ma­suk itu melebihi ketinggian rak yang dibina dan tembok setinggi kira-kira dua kaki (0.6 meter) itu menyebabkan kami terpaksa memindahkan barangan ke atas meja dan menimba air yang bertakung dalam rumah selepas air mula surut.

“Peti sejuk serta barang-barang elektrik yang lain turut diletakkan atas para khas yang dibina menggunakan kayu bagi mengelakkan terkena air apabila air masuk ke dalam rumah,” katanya di sini semalam.

Menurut Saim, antara punca utama kejadian itu adalah kewujudan satu parit besar di belakang rumah yang memisahkan taman perumahan di bahagian belakang tidak diselenggarakan dengan baik dan dipercayai di atas tanah persendirian.

Ujarnya, akibat daripada keadaan itu, selain daripada rumahnya, dua buah rumah yang dibina untuk disewakan kepada orang ramai serta salah satu sebagai kediaman anaknya juga tidak lagi boleh diduduki berikutan kekerapan dinaiki air walaupun hanya banjir kilat.

“Untuk itu, saya amat mengharapkan parit besar di belakang rumah kami ini dilakukan penyelenggaraan dengan mengalirkan airnya ke satu longkang lain bagi mengatasi masalah banjir di kawasan penempatan di Lorong Dua ini,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, seramai 74 mangsa termasuk tiga bayi dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) akibat kejadian banjir di Johor Bahru awal pagi semalam.

Empat PPS yang dibuka ialah Dewan Kangkar Tebrau yang menempatkan lapan mangsa, Taman Pasir Putih (6), Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru (17) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Mutiara (23).

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI