fbpx

Daftar NGO bawah YaPEIM elak kutipan derma diseleweng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Naim ( empat kiri) bersama penduduk Telok Panglima Garang yang hadir dalam program itu, hari ini.

KUALA LANGAT – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mencari kaedah bagi memastikan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip derma bagi negara Islam bergolak untuk berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia termasuk punca kuasa bagi pendaftaran itu dan beliau sedang berbincang dengan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr. Mohd. Radzif Mohd. Yunus serta Ketua Pengarah YaPEIM, Ameer Ali Vali Mohamed mengenainya.

“Punca kuasa itu tidak perlu dibentangkan di Dewan Rakyat kerana ia di bawah subsidiari peraturan YaPEIM sahaja. Apabila berdaftar, YaPEIM akan lebih mudah memantau atau menyenarai hitam NGO sekiranya didapati menyeleweng derma rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ziarah Madani YaPEIM di Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada wujud perancangan bagi NGO berdaftar dengan Jabatan Perdana Menteri agar kutipan dan saluran derma itu lebih efisyen dan tidak disalahgunakan pihak tertentu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah membekukan sebanyak 41 akaun bank bernilai RM15.86 juta milik pertubuhan amal milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain.

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan tindakan berkenaan diambil ekoran terdapat dakwaan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai yang telah dijalankan sejak 17 Oktober lalu.

Mohd. Na’im menegaskan, kerajaan tidak mahu ada pihak mewujudkan tabung kutipan derma bertujuan memperdaya rakyat Malaysia yang suka menderma dan masyarakat juga dinasihatkan melakukan pemeriksaan latar belakang sesebuah NGO sebelum memberi sumbangan.

“Sekiranya tidak pasti, kita galakkan menderma melalui Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM). Harap masyarakat membuat aduan kepada kami sekiranya mereka dapati ada NGO yang lakukan perkara sebegini (seleweng derma),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI