fbpx

Fakta diubah, berkali-kali cuba jatuhkan Najib – Shafee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafee dan Najib

KUALA LUMPUR – Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa seorang wartawan Al Jazeera mempunyai agenda untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, cubaan itu dilihat telah dibuat beberapa kali sejak pertemuan wartawan berkenaan bersama Najib pada 2018.

Menurutnya, fakta-fakta yang dikumpulkan berhubung kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shariibuu juga telah ditokok tambah.

“Dari segi fakta-fakta yang dikumpulkan adalah ‘ditokok tambah’ dan dia bukan wartawan sejati yang mahu mencari kebenaran,” katanya menerusi temu bual di podcast Keluar Sekejap hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai kenyataan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Korperal Sirul Azhar Umar yang disabitkan atas kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.

Dalam wawancara eksklusif itu, Sirul Azhar mendakwa dia tidak bertanggungjawab atas pembunuhan terbabit dan dijadikan kambing hitam selain mengaku menerima RM1 juta ketika berada di Australia untuk tujuan menutup mulut.

Dalam pada itu, Shafee berkata, antara perkara penting yang perlu dilihat adalah nama Najib langsung tidak pernah terlibat dan disebut dalam mahkamah sepanjang kes itu dibicarakan.

“Mustahak kita fikirkan satu dua perkara, kalau kita lihat di Mahkamah Tinggi, tiga orang dibicarakan. Dua orang yang dikatakan pembunuh dan seorang lagi penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

“Di akhir kes pendakwaan, Razak Baginda kesnya digugurkan kerana tidak ada bukti yang cukup manakala Cif Inspektor Azilah Hadri dan Sirul Azhar dipanggil pembelaan mereka dan didapati bersalah. Jadi, sepanjang perbicaraan itu, nama Najib pun tak keluar langsung,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI