fbpx

Buat onar ketika perlawanan bola, tujuh lelaki didenda RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan didenda RM2,000 dalam insiden pergaduhan luar stadium MBPJ. - Foto oleh IQBAL ROSLI / Kosmo!

PETALING JAYA – Tujuh lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berhimpun secara salah sehingga mendatangkan kerosakan sebuah kereta dalam insiden pergaduhan luar Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada perlawanan antara Selangor FC dan Perak FC minggu lalu.

Majistret Nur Natasya Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Ainol Syukri Shariff, 28; Mohammad Hariz Suhaimi, 36; Norbadrul Amin Norazman, 27; Muhammad Ezwan Shah Mustapa Kamal, 24; Muhammad Othman Abd Rahim, 21; Muhammad Husaini Hamdi Azizi, 21, dan Azizi Abu Hassan, 36 , selepas kesemuanya mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Sekiranya, mereka gagal membayar jumlah denda itu kesemua tertuduh boleh dihukum penjara dua bulan dan mereka membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama adalah ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang bagi tujuan bersama mendatangkan kerosakan terhadap sebuah kereta jenis Honda FD milik seorang lelaki berusia 22 tahun melibatkan nilai kerugian lebih RM15,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Stadium MBPJ di Kelana Jaya di sini pukul 4.50 petang pada 25 November lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun memohon hukuman berat dengan mengambil kira nilai kerugian yang dialami mangsa lebih RM15,000.

Bagaimanapun peguam Ainul Farihah Azizi yang mewakili Muhamad Ainol, Mohammad Hariz dan Aziz memohon hukuman minimum dengan alasan mereka menanggung keluarga.

Sementara tertuduh Norbadrul Amin, Muhammad Ezwan Shah, Muhammad Othman dan Muhammad Husaini yang tidak diwakili peguam merayu supaya diberikan hukuman ringan kerana mereka ditahan reman selama enam hari.

Dalam prosiding sama, dua lagi tertuduh iaitu Muhammad Afiq Azman , 29, dan Muhamad Taufiq Nasharudin , 30, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Majistret Nur Natasya kemudian membenarkan Muhammad Afiq dan Muhamad Taufiq masing-masing diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Tarikh 31 Januari tahun depan ditetapkan sebutan semula kes.

Pada 26 November lalu, Kosmo! melaporkan seramai 23 individu termasuk remaja ditahan disyaki terlibat pergaduhan antara penyokong pasukan bola sepak Perak FC dan Selangor FC di stadium MBPJ di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, kesemua individu berusia 16 hingga 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI