fbpx

Emosi terganggu punca sindrom lupa anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Boleh dikatakan hampir setiap tahun, berlaku kes kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta tanpa pengawasan, sama ada secara sengaja mahupun tidak.

Malah, bagi kes yang teruk, sindrom yang dipanggil ‘sindrom lupa anak’ itu menyebabkan kematian, dan ibu bapa atau penjaga boleh disabit kesalahan memandangkan tindakan tersebut merupakan satu bentuk penga­baian.

Bagi kes-kes tertinggal anak tanpa sengaja, ramai yang marah dan mempersoalkan bagaimana seorang ibu atau bapa itu boleh terlupa atau tidak sedar bahawa anak mereka ada bersama mereka di dalam kenderaan, lalu membiarkan mereka sehingga berjam-jam lamanya.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Psikologi, Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Raja Kamariah Raja Mohd. Khalid, banyak faktor yang boleh menyebabkan perkara tersebut berlaku kerana ia melibatkan gangguan pada fungsi otak.

“Otak berfungsi secara multitask yang mana ia boleh buat banyak perkara pada satu-satu masa, namun kita juga perlu faham bahawa ada satu sistem yang dipanggil habit brain system pada otak.

“Habit brain system merujuk kepada perkara yang dibuat secara berulang-ulang dan sudah menjadi rutin dan lazimnya dibuat secara automatik,” ujar­nya baru-baru ini.

Raja Kamariah menambah, biarpun sudah menjadi satu tabiat, sistem otak itu tadi boleh terganggu diakibatkan oleh beberapa faktor luaran, yang seterusnya menyebabkan otak menjadi lupa.

“Sebagai contoh, ibu bapa mengalami gangguan emosi pada waktu pagi akibat pelbagai faktor seperti pertengkaran kecil de­ngan pasangan, atau pun mungkin lebih mengutamakan dan memikirkan soal kerja selepas menerima panggilan telefon daripada majikan.

“Perkara itu tadi akan mengganggu fungsi otak ibu bapa, dan seterusnya menyebabkan otak yang pada mulanya sudah ingat itu, malah boleh menjadi lupa,” ujarnya.

Katanya, sesiapa sahaja boleh mengalami gangguan pada fungsi otak, yang seterusnya boleh mengakibatkan kelalaian dan juga kecuaian.

Selain itu, Raja Kamariah juga berkongsi bahawa perubahan rutin turut memberi kesan dan menjadi punca kepada sindrom lupa anak.

“Sebagai contoh, kebiasaan­nya si bapa yang akan menghantar anak ke taska setiap hari, namun akibat masalah atau kecemasan tertentu, maka rutin menghantar anak itu diserahkan kepada si ibu.

“Perubahan rutin yang berlaku itu boleh menjadikan si ibu menjadi alpa atau tidak sedar bahawa anak sedang berada di dalam kereta bersamanya,” katanya.

Kurangnya kesedaran terhadap risiko sesuatu perkara itu juga menjadi sebab perkara ini terus berlaku.

Justeru, sebagai langkah pencegahan, beliau mengingatkan orang ramai terutama ibu bapa untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Sekiranya anda seorang individu jenis visual, maka pastikan barang mainan atau botol susu anak misalnya, berada pada kedudukan yang mudah untuk dilihat di dalam kereta supaya anda sedar bahawa anak sedang ada bersama anda.

“Ini boleh membantu kita supaya sentiasa peka dan mengelak daripada perkara ini terus berulang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI