fbpx

Yasin Sulaiman bebas kerana mental tidak waras – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Shidiqin Zon/Kosmo!

PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan dadah.

Meskipun dilepas dan dibebaskan, Hakim Faiz Dziyauddin mengarahkan Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.

Dalam penghakimannya, hakim Faiz berkata
ketika kejadian tertuduh berada di dalam keadaan mental yang tidak waras
sebagaimana yang didakwa pada 24 Mac 2022.

“Setelah mahkamah meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati bahawa tertuduh ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam ketiga-tiga pertuduhan.

“Walaupun tertuduh sedar, akan sifat perbuatannya, namun begitu, gejala-gejala mania (emosi tidak stabil) yang dialami pada masa tersebut menyebabkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk, sehingga tertuduh tidak mampu, untuk mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah salah dan bertentangan dari segi undang-undang,” kata hakim itu.

Tambah hakim itu, berdasarkan fakta-fakta tersebut, mahkamah memutuskan tertuduh diletakkan di bawah penjagaan yang selamat, di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk tempoh selama mana yang diperkenankan oleh Sultan Selangor, sebagaimana yang diperuntukkan dibawah sek 348(2) Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pembelaan menutup kes mereka selepas satu-satunya saksi pembelaan iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak Dr. Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangannya.

Sepanjang perbicaraan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Dalam bicara bela diri sebelum ini, Dr. Ian Llyord mencadangkan agar Yasin menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sejak 2009.

Saksi itu berkata, tertuduh mengalami gejala-gejala bipolar mania termasuk perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik, paranoia dan sikap berhalusinasi untuk tempoh tertentu di antara 2009 dan tahun lalu.

Menurut saksi pembelaan itu, hasil pemerhatian terhadap Yasin menunjukkan, pesakitnya berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian seperti yang didakwa dalam pertuduhan.

Sementara antara tujuh saksi pendakwaan yang memberi keterangan sebelum ini memberitahu Yasin kelihatan cemas dan terkejut semasa polis menyerbu unit kediaman rumahnya di Damansara.

Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, berkata Yasin dilihat dalam situasi demikian selepas dia dan beberapa anggota lain memperkenalkan diri sebagai polis.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI