fbpx

Penipuan umrah: Guna duit jemaah B,C tampung jemaah A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd menggunakan duit jemaah kumpulan kedua dan ketiga bagi menampung kos jemaah umrah kumpulan pertama.

Tindakan tersebut dipercayai antara punca berlakunya kegagalan beberapa jemaah yang menggunakan khidmat syarikat tersebut untuk ke tanah suci sehingga membawa beberapa siri laporan polis dalam kalangan mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima 399 laporan berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah oleh syarikat Emraz babit kerugian bernilai RM14.2 juta sejak Januari lalu.

Katanya, statistik direkodkan setakat 27 November itu melibatkan 1,614 jemaah umrah.

“Mengikut pecahan, Kuala Lumpur terdapat 56 laporan, Selangor (88), Perak (19), Pulau Pinang (16), Kedah (18), Kelantan (34) dan Terengganu (40).

“Selebihnya ialah Pahang (17), Negeri Sembilan (17), Melaka (24), Johor (35), Sabah (23), Sarawak (11) dan Perlis (satu).

“Berdasarkan laporan yang diterima ini, 229 laporan telah dirujuk ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Tribunal Tuntutan Pengguna, selain lima kes dirujuk ke majistret untuk tindakan sivil, manakala selebihnya dalam tindakan pihak polis,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Ramli berkata, JSJK telah merakam keterangan pengarah syarikat iaitu sepasang suami isteri berusia lingkungan 40-an.

Ujar beliau, siasatan mendapati syarikat yang ditubuhkan pada 2015 itu mengalami masalah kewangan bermula apabila penularan Covid-19.

“Seperti dimaklumkan Motac tahun ini, kerajaan Arab Saudi menaikkan kos penginapan, pengangkutan, makan, minum dan ditambah dengan kejatuhan mata wang menjadikan harga pakej yang ditawarkan tidak relevan.

“Siasatan mendapati, bagi menampung kekurangan kos berkenaan syarikat menggunakan wang daripada kumpulan jemaah lain untuk menghantar kumpulan jemaah terdahulu.

“Contohnya bagi menampung kos jemaah kumpulan A, mereka gunakan wang daripada jemaah kumpulan B dan C kemudian seterusnya,” katanya.

Menurut Ramli, syarikat berkenaan telah mengadakan beberapa rundingan dengan jemaah yang terkandas namun janji yang ditawarkan tidak ditunaikan.

Sehubungan itu, Ramli memaklumkan siasat dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan namun tindakan seterusnya akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara kerana banyak isu bertindih.

“Untuk rekod, hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak Motac di bawah Seksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), syarikat ini telah dijatuhkan hukuman penggantungan lesen perniagaan umrah mulai 10 Julai sehingga 9 Januari 2024.

“Selain itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menyenarai hitamkan syarikat ini dan kedua-dua pengarahnya pada 5 Oktober di bawah Sekatan Pentadbiran (Fungsi Suruhanjaya) di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI