fbpx

Datuk dalang seludup arak, proses dadah bernilai RM10.37 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan sebahagian arak yang dirampas pada sidang media rampasan arak tanpa cukai dan pembongkaran makmal mini haram memproses ekstasi dengan nilai rampasan berjumlah RM10.15 juta di IPD Bandar Seri Alam, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Sindiket memproses dan mengedar dadah yang didalangi seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ terbongkar susulan serbuan sindiket penyeludupan arak yang dilakukan kawasan perindustrian Pasir Puteh, di sini Isnin lalu.

Dalam tiga serbuan berasingan termasuk dua di Johor Bahru, polis berjaya merekodkan rampasan terbesar dengan merampas dadah, sitaan dan arak tanpa cukai berjumlah RM10.378 juta

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 46 tahun itu ditahan bersama empat lagi suspek termasuk dua warga asing berusia lingkungan 26 hingga 54 tahun.

Beliau berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am Batalion 5 Simpang Renggam melancarkan operasi khas dengan menyerbu sebuah kilang yang dijadikan tempat penyimpanan arak seludup.

“Dalam serbuan itu, tiga suspek ditahan bersama rampasan 189,840 tin arak tanpa cukai kastam bernilai RM5.538 juta. Modus operandi digunakan ialah menyimpan arak dalam kontena sebelum dihantar mengikut pesanan di sekitar Johor Bahru.

“Pada masa sama, polis turut berjaya menemukan sebuah makmal haram yang dijadikan sebagai tempat memproses dadah jenis ekstasi.

“Polis bertindak merampas 22.84 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 2,230 biji pil ekstasi dan 182.9 liter cecair kimia dengan nilai keseluruhan RM1.798 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini hari ini.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas mesin dan peralatan memproses dadah serta ‘precursor’, pelbagai jenis barang kemas, wang tunai matawang asing dan 10 kenderaan dengan nilai keseluruhan lebih RM3 juta.

Kamarul Zaman berkata, susulan serbuan itu, polis melancarkan dua lagi serbuan sehingga 4 petang semalam di sekitar Johor Bahru dan menahan dua lelaki berusia 46 dan 54 tahun termasuk dalang sindiket tersebut yang merupakan ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’.

“Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan sebahagian kilang di kawasan itu sebagai tempat pemprosesan dan simpanan dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Sindiket itu memilih kawasan kilang yang berpagar tinggi bagi mengelakkan kegiatan mereka daripada pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, kegiatan penyeludupan arak tanpa cukai itu beroperasi sejak November 2022 manakala kegiatan memproses dan pengedaran aktif sejak Jun lalu.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula Isnin sehingga 1 Disember ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 6 (1)(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002); Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bermula 1 Januari sehingga 27 November lalu JSJN Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 15,483 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

Katanya, dalam tempoh yang sama pihaknya telah berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 4.74 tan manakala keseluruhan jumlah dadah yang dirampas pula bernilai RM33.80 juta dengan sitaan harta sindiket RM13.29 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI