fbpx

Pendakwaan politik, saya berani kerana benar – Adam Radlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Radlan (tengah) tiba di mahkamah untuk didakwa lagi atas beberapa pertuduhan kes pengubahan wang haram hari ini.

PUTRAJAYA- Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad menyifatkan akan terus komited dan berjuang habis-habisan agar keadilan buat dirinya ditegakkan menerusi sistem badan kehakiman yang bersih serta telus.

Katanya, meskipun dilihat menjadi mangsa pendakwaan politik, namun beliau tetap yakin keadilan buat dirinya akan ditegakkan.

“Saya ingin tegaskan bahawa pertuduhan terhadap saya adalah pendakwaan bermotifkan politik dan saya yakin ianya akan terbukti sebagai tidak berasas.

“Saya harus berjuang bagi memastikan reputasi diri saya kembali bersih dan bebas dari semua pertuduhan yang dikenakan.

“Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perniagaan dan pembinaan, saya tahu selok-belok operasi syarikat dan yakin segala tindakan dan keputusan perniagaan yang dibuat sebelum ini tidak menyalahi mana-mana undang-undang di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Terdahulu, Adam Radlan Adam didakwa enam lagi pertuduhan pengubahan wang haram baharu membabitkan nilai RM3.67 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bagaimanapun Adam Radlan, 42, mengaku tidak bersalah selepas keenam-enam pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya pada 9 November lalu yang mana prosiding pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, Adam Radlan didakwa sebagai pengarah sebuah syarikat memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM3.6 juta dari akaun syarikat itu kepada akaun CIMB Bank Berhad miliknya dan tiga individu lain.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Jaya One antara 1 Disember 2021 hingga 27 Disember 2022.

Bagi keenam-enam pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama dan dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI