fbpx

Bayi lelaki dalam beg tepi longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAYI lelaki ditemui ditinggalkan di tepi longkang belakang rumah kedai di Ayer Tawar, Manjung semalam. - Foto PDRM

LUMUT – Seorang bayi lelaki yang diletakkan dalam beg ditemui ditinggalkan di tepi longkang belakang rumah kedai di Ayer Tawar dekat sini semalam.

Bayi tersebut ditemui oleh seorang lelaki berusia 45 tahun kira-kira pukul 8.15 malam sebelum menghubungi pihak polis bagi memaklumkan penemuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, bayi tersebut dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) dan kini berada di Unit Jagaan Rapi Bayi (NICU) untuk rawatan serta pemantauan lanjut oleh pihak HSM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor mendapati tiada sebarang kecederaan luaran dan bayi berada dalam keadaan sihat,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu ibu bapa yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, mendedahkan serta membuang kanak-kanak itu dengan niat.

Tegasnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Beliau memaklumkan usaha mengesan suspek yang membuang bayi tersebut serta waris kanak-kanak itu sedang giat dilakukan.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kes tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240391. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI