fbpx

K2

Kuala Gula bukan sekadar syurga sembilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamaluddin (kiri) memegang ikan kurau dan rakannya menunjukkan ikan gegerut di Kuala Gula, Kerian, Perak.

AKTIVITI memancing di kawasan tempat tinggal sendiri kadangkala membosankan kerana cabaran yang diibaratkan ‘sudah berada di hujung jari’.

Sekali sekala menjinjing joran beramai-ramai ke luar kawasan Lembah Klang menuju ke utara mampu menyuntik semangat untuk meneruskan hobi tersebut.

Menurut seorang kontraktor dari Bangi, Jamaluddin Abu Bakar, 51, misi memancing ikan di Kuala Gula, Kerian, Perak bersama beberapa orang rakan sukar dilepaskan memandangkan cabaran menduga kemahiran yang menanti.

“Kuala Gula telah beberapa kali saya kunjungi. Ia sebuah perkampungan nelayan dan destinasi pelancongan yang terkenal dengan makanan laut segar, penghijrahan burung laut, kelip-kelip dan lokasi memancing.

“Di sini memang syurga bagi peminat aktiviti memancing terutama penggemar ikan sembilang. Sembilang memang popular yang mana juadah ikan tersebut boleh didapati di kedai-kedai makan sekitar Kuala Gula dan Kuala Kurau,” katanya ketika ditemui di Banting, Selangor baru-baru ini.

Jamaluddin berkata, situasi ekonomi yang tidak menentu juga menyebabkan dia dan rakan-rakan memilih aktiviti riadah jauh daripada hiruk-pikuk kota.

Katanya lagi, untuk memancing di perairan Kuala Gula memerlukan perancangan rapi kerana tempahan bot dan tekong ibarat pisang goreng panas.

“Bukan cabaran untuk memancing ikan sahaja yang kita hadapi, malahan hendak menempah bot dalam kapasiti lebih lima orang pun sudah menguji kesabaran.

“Memancing di Kuala Gula melibatkan kawasan muara, muka laut, umbai dan juga sekitar sangkar ikan.

“Kebiasaannya kami pergi dalam lima orang sekali dengan tekong bot,” katanya.

Jelasnya lagi, bot disewa dengan kos RM400, manakala udang hidup beberapa kilogram anggaran 60 sen seekor dibawa sebagai umpan.

Ikan pari turut boleh didapati di Kuala Gula,

Pemancing juga katanya, boleh membawa umpan-umpan sendiri seperti udang mati, ikan kembung dan juga umpun-umpun.

“Tekong bot biasanya akan sediakan ais dua beg besar untuk memastikan ikan yang dipancing kekal segar untuk dibawa pulang.

“Biasanya kami keluar memancing dari jeti Kuala Gula pukul 8 pagi dan balik ke jeti semula pukul 6 petang. Hasil tangkapan akan dibahagikan sama rata kepada semua pemancing. Lazimnya tekong akan beri hasil tangkapannya kepada pemancing,” jelasnya.

Mengulas mengenai hasil tangkapan, Jamaluddin berkata, tangkapan pada ‘trip’ kali ini agak memuaskan dengan ada yang berjaya mendapat ikan merah, jenahak, sembilang, senangin, kurau, kerapu, pari, gelama dan duri.

Jamaluddin memberitahu, pada misi kali ini, lebih 140 ekor ikan merah dipancing dan ia merupakan rekod tangkapan ‘kumpulannya’.

“Hasil tangkapan kami itu membuktikan Kuala Gula bukan hanya dipenuhi sembilang. Masih banyak spesies ikan menanti para peminat aktiviti memancing.

“Di sini, pelbagai kaedah memancing boleh dilakukan mengikut kesesuaian. Sama ada pancingan dasar, ‘casting’ dan juga apungan,” jelasnya.

Ceritanya, antara pengalaman manis di Kuala Gula juga dia pernah menaikkan ikan pari seberat 15 kilogram.

Apa yang penting jelasnya, pemancing perlu mendengar petua dan arahan tekong untuk mendapat ikan kelas A seperti kurau, pari, senangin dan jenahak.

Berkongsi pengalaman memancing di Kuala Gula sejak 20 tahun lalu, kata Jamaluddin sebelum ini, kegiatan memancing amat meriah di kawasan itu tetapi sekarang untuk tempahan bot perlu dibuat dalam masa tiga bulan kerana tekong hadkan setakat 20 orang.

Tambahnya lagi, keadaan cuaca masa kini yang tidak menentu turut memberi kesan kepada pemancing.

“Cabaran memancing utama di situ banyak juga, antaranya angin ribut yang membawa hujan lebat.

“Apabila cuaca tidak menentu, air laut akan sejuk dan kotor menyebabkan ikan kurang aktif memakan umpan. Itulah cabarannya,” ujarnya.

Sebagai peminat ikan segar, Jamaluddin berkata, kesemua ikan yang ditangkap akan dimasak dan dimakan bersama keluarga.

Aroma masakan ikan yang dimasak seakan memanggilnya dan rakan untuk kembali ke Kuala Gula untuk misi seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI