fbpx

Rosol digesa tarik balik perkataan ‘bohong’ terhadap Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosol

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini tegang seketika apabila Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari menggesa Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menarik balik perkataan ‘bohong’ terhadap Perdana Menteri.

Ia susulan tindakan Rosol yang mengulangi kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, iaitu ‘buka mulut bohong, buka mulut bohong’.

Rosol sebelumnya mendakwa beliau gagal mendapatkan penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kenyataan jumlah perbelanjaan untuk promosi kerajaan di bawah pimpinan Pagoh dan Bera yang mencecah RM700 juta, baru-baru ini.

Rosol berkata, kenyataan itu adalah bercanggah dengan perkara sebenar, manakala surat yang dihantar pada 14 November kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang meminta penjelasan tentang perkara itu didakwa masih belum dijawab Anwar.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan turut menerima surat balasan bertarikh 15 November yang memberitahu bahawa surat telah diberi kepada Tambun untuk menjawab persoalan berkenaan.

“Imej kita, pembangkang khususnya yang mengatakan bahawa kita belanja mewah jadi hingga kini surat yang dihantar oleh Speaker (Johari) kepada Tambun untuk jawab masalah ini sehingga 21 haribulan, tapi sekarang saya tak tahu apa jawapannya.

“Saya petik apa yang dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali bahawa perbelanjaan yang digunakan oleh Ahli Parlimen Pagoh cuma RM181,752.20 sahaja untuk tujuan penjenamaan termasuk kerja promosi, publisiti dan hebahan media.

“Dijawab juga oleh menteri yang sama pada 25 Mei 2023 mengatakan Perdana Menteri memaklumkan perbelanjaan terkini untuk program Malaysia Madani berjumlah RM7.4 juta.

“Sebagai Perdana Menteri, saya rasa tak patut mengelirukan dan menghina Dewan dengan jumlah yang tak wajar. Jadi itulah yang dikatakan oleh Menteri Besar Kedah, ‘buka mulut bohong, buka mulut bohong’,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, kemudiannya menegaskan bahawa perkara tersebut masih dalam pertimbangan dan beliau percaya Johari akan hadir pada hari ini dan isu tersebut boleh dibangkitkan semula.

Namun Mohammed Taufiq kemudiannya bangkit dan mengatakan kenyataan Rosol itu sangkaan jahat dan perlu ditarik balik.

“Keputusan belum ada tapi Hulu Terengganu telah melontarkan (kenyataan) seolah-olah YB Tambun mengelirukan, menghina Dewan dan ‘buka mulut je bohong’.

“Itu adalah sangkaan jahat dan saya mohon tarik balik,” katanya.

Namun Ramli menegaskan, isu yang dibangkitkan Rosol adalah berkaitan Perkara 36(12) Peraturan Mesyuarat dan meminta Mohammed Taufiq mengeluarkan usul jika masih tidak berpuas hati.

“Isu yang dibangkitkan adalah berkaitan Peraturan Mesyuarat dan apa yang dinyatakan oleh Hulu Terengganu adalah berkaitan.

“Kalau dari persperktif itu Sungai Petani ingin bangkitkan, usulkan. Saya terpaksa dengar apa yang nak dinyatakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI