fbpx

Tidak sesuai bawa pemuzik antarabangsa ketika suasana hiruk-pikuk Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fadhli pada sesi sidang Dewan Rakyat, hari ini.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) beranggapan tidak sesuai untuk pihak kerajaan membawa kumpulan atau pemuzik antarabangsa dalam keadaan hiruk-pikuk isu di Palestin ketika ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bukan isu kumpulan Coldplay memberi sokongan kepada Palestin atau tidak tetapi budaya hedonisme yang dibawa kepada masyarakat melalui konsert-konsert yang diadakan.

“Sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri, Coldplay memberi sokongan kepada Palestin. Sekarang ini bukan isu menyokong Palestin semata-semata tetapi isu budaya hedonisme yang dibawa ke dalam masyarakat.

“Dalam suasana hiruk-pikuk isu palestin yang ada pada hari ini, membawa satu kumpulan antarabangsa ke dalam negara ia tidak sesuai dengan masanya.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memainkan peranan untuk menerapkan kesedaran dalam ini, tambahan pula pemuzik-pemuzik antarabangsa ini ada yang menyokong Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) secara terang-terangan, jadi ini tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tambahnya lagi, belia-belia seharusnya dihindarkan daripada perkara-perkara tersebut lebih-lebih lagi dalam kontroversi melibatkan video tular ‘Mr. H’ yang menggemparkan negara baru-baru ini.

“Belia-belia harus dielakkan daripada terlibat dalam perkara-perkara seperti ini, dalam keadaan kontroversi video ‘Mr H’ dan sebagainya, belia harus diingatkan untuk menghindarkan daripada perkara-perkara seperti ini,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Coldplay adalah antara kumpulan yang menyokong Palestin dan ada pihak menggesa supaya konsert tersebut tidak dibatalkan.

Mengulas mengenai sindiran Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Ahmad Fadhli berkata, pelaksanaan boikot mengikut kesedaran dan hati masing-masing tanpa perlu perlekehkan orang lain.

“Semalam sahabat saya YB Kampar persoalkan kenapa kerajaan Kelantan tak nak boikot Mercedes? Boikot ini kita buat dengan rasa hati kita, kita laksana dengan kesedaran dengan rasa hati kita.

“Ada perkara yang kita tak mampu nak boikot seperti penggunaan Iphone dan Facebook. Apa yang boleh boikot, kita boikot.

“Tak boleh buat semua, jangan tinggal semua dan jangan perlekehkan orang-orang yang nak melaksanakan boikot ini kepada barang-barangan syarikat yang dikeluarkan oleh Israel,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI