fbpx

Tauke dadah Indonesia dicekup di Jalan Ampang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
10 kg dadah jenis syabu bernilai RM341,000 berjaya dirampas polis. Foto IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Ketua sindiket dadah warga Indonesia dan lima warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, di sini, pada 17 November lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 46 tahun itu ditahan kerana memiliki 10 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM341,000.

Dalam serbuan kira-kira 7.20 malam itu, polis juga merampas sebuah kereta Toyota Alphard (RM 175,000), sebuah kereta Toyota Vios (RM 40,000) dan sebuah kereta Perodua Alza (RM 75,000).

Katanya, nilai keseluruhan rampasan adalah RM631,000 serta jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan lebih daripada 20,000 orang pengguna (user) dadah.

“Sindiket pengedaran dadah ini dikesan bergerak aktif sejak dua bulan lalu di sekitar ibu negara. Modus operandi adalah dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima.

“Kita masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan punca bekalan dadah diperolehi.

“Lelaki Indonesia merupakan ketua sindiket manakala suspek tempatan berperanan sebagai ahli sindiket,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kelima-lima suspek tempatan mempunyai rekod lampau narkotik dan jenayah, tiga daripadanya mempunyai status dikehendaki bagi kesalahan narkotik dan jenayah sementara warga Indonesia tidak mempunyai sebarang rekod.

“Kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah dan dadah dapat diambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat.

Segala maklumat yang berkaitan dengan dadah boleh disalurkan melalui hotline JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talion 0 12-2087222 (24 jam). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI