fbpx

Ramai pakai slogan ‘hidup untuk hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad ketika hadir ke Program Kembara Bijak Wang 2023 yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak di sini hari ini. KOSMO!/SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kajian terkini Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati ramai rakyat Malaysia mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang rendah.

Beliau berkata, dapatan itu juga menunjukkan ramai rakyat Malaysia yang mengamalkan slogan ‘hidup untuk hari ini’ dari aspek pengurusan kewangan peribadi.

“Hasil kajian tersebut mendapati satu daripada tiga rakyat Malaysia menganggap diri mereka mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang rendah serta satu daripada 10 rakyat Malaysia percaya bahawa mereka tiada disiplin dalam menguruskan kewangan.

“Satu daripada lima pekerja dewasa tempatan tidak menyimpan wang dalam tempoh enam bulan sebelumnya dan hanya 24 peratus rakyat Malaysia yang mampu menampung kos sara hidup selama sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih jika mereka kehilangan sumber pendapatan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Kembara Bijak Wang 2023 (KBW2023) di sini hari ini.

Ahmad berkata, kita sering tidak sedar bahawa ada rakyat Malaysia yang menghadapi kesulitan dalam menguruskan kewangan sehingga menjadikan mereka sangat sensitif terhadap gangguan kewangan yang mendadak.

“Sementara itu, Tinjauan Belia Negara 2021 @ National Youth Survey 2021 oleh Merdeka Center menunjukkan bahawa 28.8 peratus responden bersetuju kebimbangan utama yang dihadapi oleh belia di Malaysia adalah faktor kewangan, diikuti isu pengangguran iaitu sebanyak 12.7 peratus.

“E-pembelajaran (7.5 peratus), talian internet (5.5 peratus) dan cabaran pandemik Covid-19 (4 peratus). Manakala 34 peratus responden bersetuju bahawa keperluan utama belia Malaysia adalah kestabilan kewangan, dikuti jaminan dan peluang pekerjaan (17.3 peratus), talian internet (6.6 peratus), kaedah pembelajaran dalam talian yang berkesan (4.5 peratus) dan tempat tinggal yang selesa (4 peratus),” jelasnya.

Jelasnya, hasil dapatan dan input sebegini meyakinkan bahawa pengetahuan terhadap pengurusan wang adalah kritikal dalam usaha menjadikan para belia ‘sihat kewangan’.

“Tanpa perancangan kewangan yang baik, kita akan terkesan dengan gangguan kewangan yang tidak dijangka atau terpengaruh dengan pembelian mengikut gerak hati tanpa sebarang motivasi untuk membuat keputusan kewangan yang bijak,” katanya.

Justeru itu, Ahmad menegaskan semula cadangannya mengenai kewujudan subjek kewangan dan keusahawanan di peringkat sekolah menengah bagi melahirkan anak-anak muda yang celik kewangan.

“Mata pelajaran ini wajar dijadikan sebagai satu subjek wajib, apa yang membimbangkan kini ialah apabila antara 400,000 ke 500,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya 40 peratus melanjutkan pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma dan seterusnya.

“Sementara 60 peratus lagi hanya belajar sehingga SPM dan kalaulah mereka celik kewangan dan keusahawanan mereka boleh menyara kehidupan dengan lebih baik. Jika tiada ilmu keusahawanan dan kewangan, mereka yang hanya memiliki SPM ini terpaksa bekerja memakan gaji yang rendah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI