fbpx
CIKGU George tular di media sosial baru-baru ini selepas berkongsi mengenai pengalamannya tinggal di stor sekolah.

Banyak lagi kisah seperti Cikgu George

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di Malaysia, ada sekurang-kurangnya 420,000 guru yang bertugas di lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, hampir 240,000 orang guru me­ngajar di sekolah rendah, manakala bakinya pula berada di sekolah menengah selain prasekolah.

Kesemua guru-guru ini diamanahkan untuk mendidik anak-anak Malaysia yang jumlahnya melebihi 5 juta orang. Ini bermakna, tanggungjawab seorang guru itu cukup besar dan penting.

Mereka bukan hanya memberi ilmu kepada anak-anak, tetapi lebih daripada itu adalah untuk membentuk ge­nerasi bertamadun yang boleh membanggakan negara.

Melihat kepada statistik itu, guru sebenarnya menjadi kumpulan penjawat awam terbesar di negara ini jika mengambil kira kepada jumlah keseluruhan kakitangan kerajaan yang kini mencecah 1.6 juta orang.

Namun, di sebalik segala reputasi dan tanggungjawab besar yang diamanahkan kepada seorang guru, tidak semuanya bernasib baik untuk menikmati ‘keistimewaan’ sebagai penjawat awam.

Ada yang bertuah ditugaskan di bandar-bandar besar dengan serba-serbi mencukupi, tetapi terbeban dengan seribu satu tugasan dan tanggungjawab.

Bagi yang dihantar ke kawasan luar bandar dan pedalaman, situasinya jauh lebih mencabar. Ia tidak hanya ber­kisar tentang aspek pendidikan murid-murid serta kemudahan pengajaran, tetapi lebih kepada soal kebajikan seorang pendidik.

Pengalaman itulah yang dilalui oleh Cikgu George Odol, seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah yang terpaksa tinggal di stor sekolah selama tiga tahun.

Apa yang berlaku dan dikongsi Cikgu George itu bukan semata-mata mengenai pengorbanan yang dilaluinya. Di sebalik kisah itu, ia menampakkan betapa aspek kemudahan dan prasarana yang terdapat di sekolah-sekolah pedalaman perlu diambil dengan serius.

Bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi isu sekolah daif ini bukanlah isu baharu dan ia telah berlarutan sejak sekian lamanya.

Malah, setiap kali adanya Menteri Pendidikan yang baharu, agenda ‘sekolah daif’ ini menjadi antara keutamaan yang diberikan, sehingga pembentangan Belanjawan saban tahun menyaksikan peruntukan tertinggi diberikan kepada Kementerian Pendidikan.

Pada Julai lalu, kerajaan turut memaklumkan mengenai peruntukkan RM6.5 bilion bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah melibatkan 1,002 projek di seluruh negara sejak dari 2016 hingga 2023.

Melihat kepada kesungguhan dan komitmen kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) itu, adalah diharapkan agar impian untuk menoktahkan isu sekolah daif ini dapat direalisasikan.

Ramai percaya bahawa kisah Cikgu George itu ha­nyalah secebis daripada ribuan lagi kisah-kisah sedih yang dialami guru-guru di luar sana.

Mungkin juga sudah sampai masanya untuk kita memberikan kegembiraan buat insan-insan yang telah berjuang demi anak bangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN