fbpx

Jaguh rejam lembing negara, anak penoreh getah bukti kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jaguh sukan rejam lembing, Syed Abrar menerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19 dan meraikan kejayaan bersama ibu bapanya.

JAGUH sukan rejam lembing, Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi bukan sahaja hebat di padang bahkan dalam pelajaran.

Ini terbukti apabila Syed Abrar dipilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19 baru-baru ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian itu merupakan seorang yang sangat aktif bersukan sejak di bangku sekolah dan terus menempa pelbagai kejayaan sepanjang pengajian di universiti ini.

Selain mencatat pelbagai kejayaan dalam arena sukan rejam lembing di peringkat kebangsaan dan Asia Tenggara, terbaharu dia menempa nama sebagai atlet yang mewakili Malaysia dalam temasya sukan SEA 2023 di Kemboja.

Syed Abrar berkata, berbekalkan semangat ‘bersukan hingga berjaya dan jangan sesekali menyerah kalah’, dia sehingga saat ini berjaya merangkul sebanyak 13 pingat emas dan dua pingat perak daripada 16 kejohanan yang telah disertai.

“Antaranya ialah Asean University Games, Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma), MAF National Athletic Championship, Kejohanan Olahraga IPT dan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT).

“Kejohanan lain termasuklah Kejohanan Olahraga IPT Sirkit, Varsity Track and Field dan Temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA),” katanya membuka perkongsian bersama iGen.

Menyentuh tentang amalan dan pengurusan masa antara akademik serta sukan, graduan yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.73 ini menyatakan disiplin menjadi pegangannya selama ini.

Katanya, di samping sibuk fokus mengikuti sesi perkuliahan akademik, dia sentiasa memastikan akan tetap menjalani latihan padang selama dua jam sehari di sebelah petang.

Ditanya mengenai cita-citanya, Syed Abrar, 23, menyatakan, dia menanam impian bergelar seorang pensyarah dan akan menyambung pengajian peringkat Sarjana di UTeM dalam masa terdekat sekali gus terus mengembangkan bakatnya sebagai atlet rejam lembing.

Syed Abrar dan Nahvin merupakan dua orang penerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19 baru-baru ini.

Terdahulu, dia yang berasal dari Perlis itu merupakan antara 3,378 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari membabitkan enam sesi itu.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Nahvin Muthusamy yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kompuer (Kepintaran Buatan) dengan pencapaian PNGK 3.89.

Nahvin, 23, yang berasal dari Negeri Sembilan melahirkan rasa gembira kerana apa yang telah diusahakan selama pengajiannya di UTeM membuahkan hasil.

Berkongsi amalan dan prinsip hidup, dia menyatakan perlu ada semangat serta sentiasa percaya diri sekali gus membuatkan apa yang dilakukan akan menjadi lebih mudah.

Kata anak sulung itu lagi, dia tekad untuk menjadi yang terbaik demi mencorak masa depan lebih terjamin dan membalas jasa ibunya yang kini terus bersusah payah menoreh getah menyara keluarga.

“Ibu terpaksa meneruskan usaha menyara keluarga dengan menoreh getah kerana ayah telah lumpuh diserang penyakit angin ahmar sejak beberapa tahun yang lalu.

“Ini secara tidak langsung menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus cemerlang dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

“Saya bercita-cita untuk meneruskan pengajian sehingga peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI