fbpx
Mahabbah Care4Ummah 5.0 turut melibatkan acara bersama kanak-kanak antaranya program Little Qari.

Mahasiswa UM santuni mualaf, asnaf di pedalaman Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM usaha menyantuni masyarakat dan menyampaikan dakwah serta bantuan kepada golongan sasar, mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur telah pergi ke kawasan pedalaman iaitu Pitas dan Ranau di Sabah.

Kumpulan mahasiswa tersebut telah menganjurkan program khidmat bakti iaitu Mahabbah Care4Ummah 5.0 bersama komuniti di situ.

Inisiatif tersebut bertujuan membentuk insan berperikemanusiaan dan peduli dengan masyarakat sekeliling.

Seramai 24 orang mahasiswa dari Jabatan Syariah dan Pengurusan telah menjadi sukarelawan untuk program tersebut yang melibatkan hampir 300 orang penduduk mualaf dari etnik Bajau dan Dusun.

Pengarah program, Amir Haidar Abdul Samad berkata, idea untuk menganjurkan program ini muncul setelah mereka mendengar taklimat daripada pertubuhan Care4Asnaf yang dijemput oleh pensyarah subjek Keusahawanan Islam, Dr. Mohd. Abd. Wahab Fatoni Mohd. Balwi.

“Apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan Care4Asnaf dalam menjayakan misi kemanusiaan di Sabah, kami tidak melepaskannya.

“Ini kerana, kami melihatnya sebagai satu peluang baik dalam pembinaan jati diri kami sebagai graduan yang akan menyertai masyarakat kelak,” katanya.

Selain pihak Care4Asnaf sebagai rakan kerjasama strategik, program Mahabbah Care4Ummah 5.0 ini turut dijayakan oleh Little Caliph International Sdn. Bhd. dan Universiti Malaysia Sabah Four Wheel Drive Volunteer Club (UMS 4WDVC) yang membantu dari aspek logistik dan pengangkutan.

Mengulas lanjut, Amir Haidar berkata, program ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan ilmu Islam kepada komuniti mualaf dan asnaf yang memerlukan di kawasan pedalaman yang terpilih, tetapi turut menitikberatkan aspek berbakti kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Melalui pelbagai aktiviti seperti bengkel solat, pengurusan jenazah, tilawah al-Quran, pengagihan bantuan makanan serta bantuan Back to School.

“Kami berpeluang menyelami kehidupan komuniti pedalaman yang menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran terutamanya sebagai seorang yang baru sahaja menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim,” jelasnya.

Bengkel pengurusan jenazah turut diadakan dalam kunjungan ke pedalaman Sabah baru-baru ini.

Mewakili rakan-rakannya, Amir Haidar mengimbau kenangan ketika menjalankan program di Kampung Linapasan di Ranau yang terletak di kaki Gunung Kinabalu.

Menurutnya, untuk masuk ke kampung itu mereka perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan tidak berturap hampir tiga jam.

“Penduduk kampung ini masih menggunakan air sungai sebagai sumber air utama serta hanya menggunakan generator untuk kegunaan elektrik.

“Uniknya kampung ini memiliki begitu ramai keluarga mualaf dan mereka semua teruja menerima kehadiran kami.

“Namun, kerana kesuntukan masa kami tidak tinggal lama di situ,” katanya.

Dengan menghayati nilai-nilai kemanusiaan dan keislaman melalui interaksi langsung dengan komuniti pedalaman, mahasiswa bukan sahaja menyalurkan bantuan, tetapi juga membina hubungan empati mendalam.

Hasilnya, program itu tidak hanya memberikan manfaat kepada komuniti sasaran, tetapi juga memberi pengalaman pembelajaran yang tidak ternilai kepada mahasiswa yang terlibat.

Amir Haidar berkata, semangat kesukarelawanan dan keilmuan yang diperoleh melalui program ini diharapkan dapat terus berkekalan serta memberi impak positif dalam

perjalanan kehidupan masing-masing.
“Kesimpulannya, program ini telah memberi satu impak yang sangat positif bukan sahaja buat penduduk pedalaman Sabah, bahkan juga buat para mahasiswa yang terlibat sebagai sukarelawan dalam misi ini.

“Justeru, saya berharap program sebegini dapat digiatkan serta diperbanyak khususnya dalam kalangan mahasiswa kerana di sebalik dapat meringankan beban mereka yang susah, program ini juga dapat bentuk sahsiah dan jati diri mahasiswa agar menjadi manusia yang berguna dan bermanfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Mengulas tentang program itu, wakil Care4Asnaf yang bertindak sebagai penyelaras program, Nawawi Reza Mohd. Daud menjelaskan, program sebegitu yang selalunya memberi manfaat secara langsung kepada penerima bantuan ternyata turut menghasilkan manfaat tidak langsung kepada para sukarelawan yang terlibat.

“Paling asas, mereka telah belajar erti bersyukur apabila melihat keadaan komuniti yang memiliki serba kekurangan berbanding mereka yang sedang menuntut di menara gading di ibu kota.

Melalui aktiviti-aktiviti seperti menjenguk asnaf, perkhemahan di tepi sungai, tazkirah serta pengagihan bantuan makanan, mereka telah dibimbing untuk menjadi individu prihatin, peka dan bertanggungjawab,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN