fbpx

DUN Selangor: Senarai hitam pemaju tidak patuh syarat kuota bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Pemaju yang tidak mematuhi syarat kuota bumiputera akan disenarai hitam dan berdepan tindakan lebih berat.

Exco Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu serta Warisan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, pihak pemaju perlu memastikan syarat kuota bumiputera itu dipatuhi semasa proses penjualan hartanah.

Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) akan membuat pemantauan semasa permohonan kelulusan ‘blanket consent/blanket approval’ oleh pihak pemaju.

“Sekiranya pihak pemaju tidak mematuhi syarat kuota bumiputera atau pemaju terlebih jual unit bukan bumiputera maka proses ‘blanket consent/blanket approval’ tidak dapat diteruskan.

“Pemaju itu juga akan disenarai hitam daripada membuat sebarang permohonan pelepasan kuota bumiputera di Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan denda lebih berat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) terdahulu ingin mengetahui syarat-syarat penjualan lot bumiputera kepada bukan bumiputera.

Borhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat turut memaklumkan pembeli dibenarkan membuat permohonan rayuan pengecualian bayaran sekiranya membeli unit bumiputera disebabkan ketidakpatuhan pihak pemaju.

Pengecualian bayaran itu melibatkan tujuh peratus atau 10 peratus pemulangan potongan harga bumiputera dan lima peratus caj pelanggaran mekanisma penyelenggaraan kouta bumiputera.

“(Namun) dengan syarat pemaju atau pelikuidasi telah membuat permohonan pelepasan kuota bumiputera di LPHS dan rayuan itu perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Keputusan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor untuk pertimbangan.

“LPHS dan kerajaan negeri bersedia membantu pemohon membawa permohonan untuk dibincangkan mengikut prosedur yang ditetapkan seterusnya diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jika memerlukan kelulusan pihak berkuasa negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI