fbpx

Wakili Malaysia, Imran Akil tak sangka tewaskan Duta SO7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMPIAN Imran Akil mewakili negara dalam sukan badminton dapat direalisasikan apabila diundang menyertai Tepok Bulu 2023 di Jakarta, Indonesia pada Jumaat lalu.

PETALING JAYA – Siapa sangka impian pelakon Imran Akil mewakili negara dalam pertandingan badminton dapat direalisasikan apabila diundang menyertai Tepok Bulu 2023 di Jakarta, Indonesia pada Jumaat lalu.

Katanya, rasa teruja dan gugup bersatu apabila dia dan regunya, Datuk Fazley Yaakob dapat menewaskan vokalis kumpulan Sheila On 7 (SO7), Duta dan pasangannya yang juga pelawak, Vincent Rompies di hadapan 6,000 penonton.

“Berkat latihan sejak dua bulan membuahkan hasil, cuma awalnya kami artis Malaysia risau sebab pasukan Indonesia tahu strategi kita menerusi perkongsian dalam Instagram, tetapi pihak sana tidak mendedahkan latihan mereka.

“Apabila tiba hari perlawanan pula, 6,000 penonton memenuhi Stadium Gelora Bung Karno membuatkan debaran saya makin berganda apatah lagi sebaik kami menewaskan Duta dan Vincent, seterusnya selebriti Malaysia menjuarai Tepok Bulu 2023.

“Nampaknya cita-cita saya ketika mewakili sekolah dalam sukan badminton terlaksana dan ini juga berkat kegigihan Datuk Fazley serta barisan pasukan dan pengurus kami, Noh Salleh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Selain Fazley dan Imran atau nama sebenarnya Muhammad Imran Aqil Mohd Salehuddin, 24, pasukan mereka turut disertai pelawak Atu serta pensohor media sosial Atita Haris selaku beregu campuran.

Menurut bekas penyampai radio yang meminati lagu SO7 itu, pertama kali bertemu dengan Duta atas gelanggang Istora Gelora Bung Karno membuatkannya kelu.

“Duta atau Akhdiyat Duta Modjo adalah idola saya sejak dulu, memang kami tak sempat berbual lama selepas pertarungan itu, tapi Fazley sempat mengundangnya datang ke restoran kalau berkunjung ke Kuala Lumpur nanti,” ujarnya.

Pelakon drama Budak Tebing 2 itu turut menzahirkan terima kasih atas kepercayaan Fazley mengajaknya menjadi rakan regu menerusi pemilihan yang diuar-uarkan dalam Instagram sebelum ini.

“Walaupun bukan perlawanan profesional, kami mahu mengharumkan nama negara dengan membuat persediaan rapi.

“Beliau seorang yang sangat komited dan berdedikasi apabila giat mengatur strategi serta menyusun jadual latihan di bawah kendalian dua jurulatih profesional,” ulasnya.

Tepok Bulu 2023 adalah perlawanan persahabatan pasukan selebriti Indonesia yang mengundang rakan seperjuangan dari Malaysia sempena meraikan ulang tahun ke-60 stadium tertutup ikonik negara terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI