fbpx

Tanah Merah, Pasir Mas diramal banjir pagi esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir di Kelantan terutamanya melibatkan daerah Tanah Merah dan Pasir Mas awal pagi esok.

Menurut JPS dalam satu kenyataan, amaran tersebut dikeluarkan susulan ramalan hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 18 November 2023.

“Daripada hasil simulasi model, JPS meramalkan kejadian banjir boleh berlaku di beberapa lokasi pada waktu tertentu sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di negeri Kelantan.

“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” katanya.

Antara lokasi yang dijangka banjir ialah di Tanah Merah, terutamanya di sekitar Kampung Kajang, Kampung Nibong dan Kampung Air Bujing yang diramal banjir seawal pukul satu pagi, esok.

Selain itu, bagi jajahan Pasir Mas, empat kawasan yang dijangka banjir ialah Kampung Kubang Rambutan, Kampung Bagus, Kampung Degung dan Kampung Limau Purut.

“Di sekitar Pasir Mas, antara kawasan yang mungkin dinaiki air ialah Jeti Danau Tok Uban, Kampung Chasi, Tok Uban, Kampung Rasal, Kampung Kuala Itik, Kampung Kok Pauh, Kampung Rahmat, Kampung Pengkalan Telok dan Kampung Tersang.

“Tarikh dan waktu kawasan ini diramal mengalami kenaikan air adalah pada pukul sembilan pagi, esok,” katanya.

Tambah JPS, banjir yang diramalkan mungkin berlaku lebih awal atau lebih lewat dari masa yang dijangkakan.

Orang ramai boleh mendapatkan informasi lanjut mengenai banjir di laman sesawang https:/publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI