fbpx

Plus tawar 25 program kemasyarakatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peserta terlibat pada Hari Komuniti MyPLUS semalam.

PETALING JAYA – Lebih 10,000 penduduk dan komuniti setempat yang tinggal berhampiran dengan jajaran lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (Plus) seluruh negara, menerima manfaat melalui 25 program kemasyarakatan, Hari Komuniti MyPLUS yang dianjurkan secara serentak semalam.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, program kemasyarakatan yang dijayakan oleh 1,000 warga Plus serta melibatkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) itu memberikan fokus kepada aspek keselamatan dan kelestarian.

Beliau berkata program yang juga merupakan acara tradisi Plus turut membolehkan warganya menyumbang semula kepada masyarakat dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup mereka, selari dengan misi syarikat iaitu menghubungkan komuniti untuk mencorakkan masa hadapan.

“Kepakaran yang dimiliki oleh Plus dalam mengurus dan menyelenggara infrastruktur lebuh raya digunakan untuk melaksanakan projek penambahbaikan di kawasan yang berdekatan untuk membantu meningkatkan dan melestarikan kualiti hidup masyarakat setempat.

“Tahun ini menyaksikan 25 projek kemasyarakatan bertemakan ‘Memperkasa Komuniti Selamat dan Lestari’ dijalankan secara serentak di komuniti terpilih di sepanjang jajaran lebuh raya Plus, termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2),” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Tambah Nik Airina, bagi kawasan di Machap, pihaknya membaiki dan menaik taraf laluan pintas di bawah lebuh raya Vehicular Box Culvert (VBC) sepanjang 150 meter di kampung, Machap yang menghubungkan tujuh kampung lain serta sekolah dengan 2,000 penduduk menerima manfaatnya.

“Selain itu, Plus turut memasang lampu solar LED dan papan tanda tunjuk arah di Jalan Sekolah, Kampung Seri Machap, serta pada masa yang sama, PLUS juga menambah baik infrastruktur di Sekolah Kebangsaan Seri Machap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Jaringan Masyarakat dan Pemindahan Ilmu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Mohd Hafizal Hanipah berkata seramai 22 staf dan pelajar universiti berkenaan menyertai program berbentuk kemasyarakatan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI