fbpx

Lelaki ‘cabut lari’ lepas kena caj RM890 di salon rambut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dimuat naik oleh pengguna berkenaan di akaun Facebooknya.

PETALING JAYA – Seorang pemuda dipercayai melarikan diri selepas mendapatkan perkhidmatan gunting serta dandanan rambut berharga RM890 di sebuah salon terletak di pusat beli-belah Bukit Bintang.

Menerusi hantaran oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Eddy Teller, kejadian berlaku pada 13 November lalu dan laporan polis dipercayai telah pun dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi.

Di dalam hantaran tersebut turut dimuat naik rakaman televisyen litar tertutup dan tangkap layar perbualan mesej antara lelaki berkenaan bersama pemilik salon.

“Budak ni dah tipu anak saudara saya, buat rambut di salon sampai RM890 lepas tu lari tak bayar. Laporan polis dah dibuat di IPD Dang Wangi.

“Kepada sesiapa yang kenal mamat ni, minta dia pergi balik salon yang dia buat rambut hari tu bayar jumlah tersebut dan buat video permohonan maaf.

“Tak pasal-pasal orang lain kena tanggung kos kau buat rambut. Nak bergaya tapi menipu. Kalau ‘sengkek’ pergi potong kat mamak je lah. Tak berkat pun kau lari dah buat rambut,” tulis pengguna berkenaan.

Kisah tular ini turut dikongsi oleh beberapa pengguna lain sehingga tular di media sosial seperti aplikasi X sejak semalam.

Menjengah ke ruangan komen, terdapat beberapa pengguna meluahkan rasa tidak percaya dengan harga yang dikenakan hanya untuk dandanan dan servis gunting rambut.

“Wei buat rambut apa sampai RM800 ni? Jiwa B40 saya tertanya-tertanya. Lain kali sebelum dapatkan servis, tanya jelas-jelas dulu harga,” komen Faiz.

“Memang lah dia lari, mesti dia terkejut tengok bil akhir macam itu harganya. Mesti dia ingat dalam RM200 macam tu sahaja,” komen Healer pula.

Sehingga kini, pihak Kosmo! sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada IPD Dang Wangi berhubung laporan polis yang dibuat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI