fbpx

Satu daripada lima dewasa Malaysia hidap diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAKANAN merupakan salah satu faktor penyumbang kepada masalah diabetes. – Gambar hiasan

MASALAH berkaitan diabetes atau kencing manis di negara ini bukanlah satu isu baharu.

Malah, prevalen diabetes di Malaysia menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan sehingga menyebabkan kos rawatan penyakit ini terus meningkat.

Pakar Perunding Endokrinologi di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Alexander Tan Tong Boon berkata, beberapa tahun sebelum ini dia sering ditanya tentang masalah tersebut.

Apa yang boleh dikatakan olehnya, penghidap diabetes di Malaysia menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, sebelum ini, prevalen untuk diabetes sekitar 8.3 peratus, tetapi angka itu semakin naik.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, kadar masalah itu telah mencapai 18.3 peratus.

“Angka ini juga menunjukkan satu daripada lima masyarakat dewasa Malaysia menghidap diabetes.

“Dalam masyarakat Malaysia, hampir 50 peratus penghidap diabetes tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai masalah itu dan apabila melakukan pemeriksaan baru mereka mengetahuinya,” katanya.

Tambahnya, diabetes boleh dikatakan salah satu ‘krisis senyap’ kerana kebanyakan penghidap tidak tahu mereka berhadapan dengan masalah tersebut.

Di Malaysia, pemakanan menjadi salah satu faktor risiko kepada berlakunya masalah ini.

Mengulas lanjut, Dr. Alexander berkata, bukan hanya di Malaysia, tetapi masyarakat antarabangsa juga dihidangkan dengan pemakanan yang padat dengan karbohidrat dan kalori.

“Malah, kadar obesiti bagi masyarakat negara ini semakin meningkat disebabkan pemakanan.

“Obesiti ini akan menyebabkan berlakunya masalah-masalah kesihatan bukan hanya diabetes, malah darah tinggi, kolesterol tinggi dan lain-lain lagi,” terangnya.

Selain itu, genetik turut menjadi faktor risiko kepada berlakunya masalah diabetes.

Setiap rakyat Malaysia perlu melakukan pemeriksaan gula dalam darah secara berkala. – Gambar hiasan

Jika ibu bapa mempunyai sejarah diabetes, maka peluang untuk seseorang itu mendapat kencing manis lebih tinggi.

Dalam usaha mengatasi krisis diabetes di negara ini, setiap masyarakat harus mengetahui sama ada mereka berhadapan dengan masalah itu atau tidak.

Dr. Alexander menjelaskan, setiap rakyat Malaysia perlu melakukan pemeriksaan untuk mengetahui tahap kesihatan mereka.

“Ini adalah langkah pertama untuk merawat masalah ini. Jika seseorang langsung tidak tahu sama ada mereka mempunyai diabetes atau tidak, bagaimana tindakan susulan untuk menguruskannya boleh dilakukan.

“Apa yang boleh dilakukan adalah dengan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu dan setelah mengetahui keputusannya, pesakit boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat,” terangnya.

Umum juga mengetahui bahawa diabetes boleh menjadi punca kepada masalah kesihatan lain.

Malah, diabetes mampu memberi kesan kepada keseluruhan badan.

“Masalahnya, gula di dalam darah boleh mengalir dan tempat yang menerima banyak gula akan menerima kesan buruk.

“Oleh itu, apabila darah masuk ke dalam buah pinggang, jantung, mata dan lain-lain sistem, ia akan menyebabkan berlaku komplikasi-komplikasi yang lain,” terangnya.

Tambahnya, jika paras gula dalam badan terlalu tinggi, ia akan menyebabkan sistem imun untuk melawan jangkitan virus berkurang.

Ini akan menyebabkan seseorang itu mudah mendapat jangkitan dan sukar untuk pulih.

Oleh demikian, pengesanan awal adalah sesuatu yang penting untuk menguruskan diabetes.

DR. ALEXANDER

Dr. Alexander berkata, jika kita dapat mengesan diabetes ini lebih awal, langkah-langkah kawalan boleh diambil.

“Jika gula dapat dikawal dengan baik-baik, kita boleh mengelakkan 100 peratus komplikasi kencing manis.

“Dalam sesetengah kes, diabetes dapat mencapai ‘remission’ jika kita menguruskan masalah ini dengan baik,” katanya.

Sementara itu, sebagai sokongan kepada usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengekang penularan penyakit kencing manis, Sunway Healthcare Group telah melancarkan kempen tahunannya iaitu ‘KNOW Diabetes’ sempena Hari Penyakit Kencing Manis Dunia.

Kempen interaktif digital yang memasuki tahun ketiga itu bertujuan mendekati lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyebarkan pengetahuan kesihatan atau celik kesihatan.

Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam membendung penularan penyakit diabetes terbukti dalam pembentangan Bajet 2024.

Menurutnya, kerajaan telah mencadangkan untuk menaikkan duti eksais ke atas minuman manis ‘cukai gula’ daripada 40 sen seliter kepada 50 sen seliter.

“Cukai yang dikutip pula akan disalurkan untuk merawat penyakit kencing manis dan memberi sokongan kepada pusat dialisis.

“Krisis penyakit diabetes tidak dapat dibendung jika semua rakyat Malaysia tidak bersatu hati dan bekerjasama,” katanya.

Tambahnya, melalui kempen itu, pihaknya berhasrat untuk membawa rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat bersama-sama membendung peningkatan diabetes serta menggalakkan gaya hidup sihat.

Dalam masa sama, Pakar Sunway Home Healthcare, Dr. Ng Xun Jin dan Dr. Ng Chin Nee menunjukkan kesan pilihan makanan yang sihat dan tidak sihat terhadap paras gula dalam darah menggunakan monitor glukosa berterusan.

Orang ramai juga dijemput untuk mencadang makanan yang mereka ingin pantau pada monitor glukosa itu.

Pusat Perubatan Sunway juga menyediakan promosi pemeriksaan kesihatan kepada individu berisiko tinggi.

Ia bagi mengekang beban emosi dan ekonomi disebabkan penyakit diabetes kepada individu, keluarga, sistem penjagaan kesihatan serta negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI