fbpx

Kereta jadi ‘stor’ simpan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan (tengah) ketika sidang akhbar di IPD Timur Laut, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sebagai stor penyimpanan bahan terlarang itu tumpas susulan penahanan lima lelaki dan seorang wanita di sekitar Jelutong dan Gelugor di sini, pada 14 November lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan berkata, keenam-enam suspek yang semuanya warga tempatan berusia lingkungan 21 sehingga 42 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menerusi Ops Tapis antara pukul 11.20 pagi sehingga 3.45 petang.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di pangsapuri di Taman Seri Damai, polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas dua paket heroin, satu paket syabu dan empat biji pil eramin 5.

“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa pasukan polis kepada serbuan kedua dan kita menemui sebuah kereta jenis Honda Civic yang dijadikan stor tempat menyimpan dadah di kawasan sama. Hasil pemeriksaan kenderaan, polis menemui dua paket heroin manakala dua lagi ahli sindiket turut ditahan.

“Menerusi serbuan ketiga, sebuah kereta jenis Perodua Kancil diperiksa di tepi Jalan Persiaran Bukit Gambir 1, Gelugor dan kita menemui 4.1 kilogram (kg) dadah jenis heroin,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Mercedes Benz dan tiga buah motosikal, barang kemas dan wang tunai RM6,050 menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM135,021.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak bulan lalu dan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 22,402 penagih.

“Hasil ujian air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah jenis morfin dan methamphetamine manakala keenam-enamnya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Kesemua suspek kini direman selama seminggu sehingga 21 November bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI