GAMBAR HIASAN

Kena batang hidung sendiri baru melenting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMPAKNYA kes buli dalam kalangan pelajar sekolah masih berleluasa dan tidak berkesudahan seolah-olah menjadi satu trend melibatkan senior dan junior yang nampaknya seperti mahu tunjuk siapa yang ‘berkuasa’.

Ia bukan sahaja berlaku di sekolah harian, tetapi turut menular di sekolah-sekolah yang dilabelkan elit atau budak pandai seperti sekolah berasrama penuh.

Satu hal kita kena ingat, budak yang geliga otaknya tidak semestinya akhlak dan perangai mereka elok.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan kes buli melibatkan sebuah sekolah elit di utara tanah air yang kalau namanya disebut, pasti ramai yang ternganga disebabkan imejnya sebagai institusi pengajian yang disegani sejak dahulu lagi.

Ia menjadi panas selepas ada ibu bapa khabarnya menular kes buli menimpa anak mereka pelajar junior oleh abang senior di media sosial hingga menjadi perdebatan dalam kalangan netizen.

Apa yang mereka tidak puas hati selepas mengetahui hukuman terlalu ringan dikenakan terhadap pelajar senior yang didakwa membuli anak mereka berusia 16 tahun. Menurut mereka, pembuli sepatutnya dibuang sekolah sebagai pengajaran kepada yang lain.

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan membuat laporan polis berhubung tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli tersebut.

Kata mereka, tindakan menularkan kes itu memberi impak besar dan membawa imej buruk kepada sekolah yang maha prestij itu secara keseluruhannya.

Penulis bukan ingin menyebelahi mana-mana pihak dalam isu ini, tetapi sebagai bapa yang mempunyai pengalaman anak pernah dibuli di sebuah sekoilah berasrama penuh sedikit masa lalu terpanggil untuk memberi sedikit pendapat.

Bagi penulis, PIBG sepatutnya mengambil pendirian untuk mengkritik aktiviti buli itu dan bukannya cuba untuk menutupnya dengan alasan untuk menjaga nama baik sekolah.

Dalam kes melibatkan anak penulis, ia menjadi kecoh selepas salah seorang pelajar yang dibuli melibatkan pelajar senior dan junior menelefon bapanya.

Bapa yang tidak berpuas hati dengan kes itu bertindak menelefon pihak pengurusan sekolah dan selepas itu, satu mesyuarat tergempar diadakan antara PIBG, sekolah dan ibu bapa diadakan bagi mencari solusi terbaik agar ia tidak berulang.

Hasilnya, beberapa pelajar senior yang menjadi ‘kepala’ atau master mind dalam kes buli itu dibuang sekolah tanpa memperdulikan mereka anak siapa, orang berpangkat atau rakyat marhaen. Itu sepatutnya dilakukan, bukannya masing-masing cuba mencari solusi sendiri.

Kalau tidak kena batang hidung sendiri, boleh sahaja bercakap soal menjaga nama baik sekolah dan sebagainya.

Seandainya anak sendiri yang menjadi mangsa buli, apa jawapan mereka? Sudah pasti mereka juga akan melenting. Sebelum berkata-kata, fikirkan sejenak perasaan ibu bapa yang anak mereka dibuli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN