fbpx

Bersatu gagal cabar kekosongan empat kerusi Parlimen Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal dalam permohonannya memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang enggan mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas menolak permohonan dua pihak untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman supaya Johari mengisytiharkan kerusi yang disandang oleh empat ahli Parlimen itu kosong.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu pada 17 April lalu.

Berdasarkan permohonan semakan kehakiman itu, Bersatu menamakan Johari dan empat Ahli Parlimen itu iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

Pada 29 Ogos lalu, Peguam Kanan Persekutuan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Ahmad Hanir Hambaly, berkata permohonan Bersatu perlu ditolak kerana tidak tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara peguam bela Kiandee dan Muhammad Suhaimi, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pula dilaporkan berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman perlu didengar kerana ia bukan suatu yang remeh serta menyusahkan.

Dalam permohonan itu, Bersatu memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu yang menyatakan responden kedua hingga kelima telah memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan kerusi parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu.

Bersatu juga memohon satu deklarasi bahawa empat ahli parlimen itu telah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi parlimen berkenaan.

Selain itu, parti berkenaan turut memohon perintah supaya Johari memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari perintah terbabit.

Sekiranya kebenaran diberikan dan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman, Bersatu memohon perintah penzahiran supaya responden-responden mengemukakan semua surat-menyurat dan rekod kepada dan daripada Johari berhubung maklumat serta penjelasan mengenai pemberhentian semua ahli parlimen terbabit, dan pengesahan bahawa tiada berlakunya kekosongan luar jangka.

Berdasarkan alasan dalam permohonan itu, Bersatu menyatakan responden kedua hingga kelima yang merupakan calon parti itu telah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo GRS.

Bersatu menyatakan bahawa pada 10 Disember lepas, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media memaklumkan pemimpin-pemimpin Bersatu termasuk responden kedua hingga kelima telah membuat keputusan untuk meninggalkan parti berkenaan.

Pemohon mendakwa pada 19 Disember 2022, dalam persidangan Parlimen pertama selepas PRU15, responden kedua hingga kelima telah duduk di bahagian kerajaan, yang jelas menunjukkan niat mereka untuk meninggalkan parti Bersatu.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Bersatu telah mengeluarkan Notis Pemberhentian kepada responden kedua hingga kelima pada 21 Disember 2022, yang memaklumkan mereka telah berhenti menjadi ahli parti berkenaan selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Menurut parti itu, disebabkan perberhentian berlaku selepas PRU15, berlaku kekosongan kerusi parlimen berkenaan berdasarkan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan mana-mana ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan.

Bersatu mendakwa Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas menyatakan bahawa responden kedua hingga kelima sudah memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan Bersatu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI