fbpx

KKM buka permohonan untuk petugas perubatan ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha bercakap pada Majlis Pelancaran Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini. Foto oleh FAIZ ALIR ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) membuka permohonan kepada petugas kesihatan yang bersedia menyertai pasukan perubatan ke Gaza sebaik sahaja kebenaran diberikan.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, latihan bersesuaian akan diberikan kepada pasukan perubatan ekoran mereka akan terlibat dalam merawat mangsa di lokasi bencana peperangan.

Menurut beliau, KKM bekerjasama rapat dengan Palang Merah Antarabangsa dan Mercy Malaysia dalam inisiatif berkenaan bagi menyokong sistem kesihatan di Gaza yang berdepan krisis ekoran konflik Palestin-Israel.

“Permohonan penyertaan dibuka secara dalam talian untuk mana-mana anggota kesihatan yang bersedia untuk dihantar ke sana (Gaza).

“Kita berdepan dengan peperangan, latihan meliputi sudut fizikal, mental dan emosi kerana berdepan dengan peperangan ini. Ia satu perkara yang sangat menekan.

“Jadi, dari sudut persediaan lain, saya yakin mereka memang bersedia,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di sini tadi.

Isnin lalu, KKM mengesahkan pihaknya bersedia menghantar pasukan perubatan ke Gaza sebaik sahaja kebenaran diberikan selain pihaknya sudah mengenal pasti pasukan yang boleh dimobilisasikan.

Dr. Zaliha berkata, beliau turut berhubung dengan pasukan perubatan di sana dalam keperluan bantuan peralatan perubatan dan pembedahan berikutan kecederaan sangat tinggi di wilayah bergolak itu.

Terdahulu, KKM turut mengambil langkah menyediakan bantuan kemudahan kelengkapan perubatan untuk dihantar ke Semenanjung Gaza.

Ia antaranya melibatkan alat consumable seperti syringe pump, suture, IV cannula, dressings dan bandage selain perkhidmatan neurosurgery dan surgical trauma.

Selain itu, KKM turut menyediakan kemudahan peralatan seperti ‘medical beds’ dan ubatan yang bersesuaian dan sentiasa mengikuti perkembangan di Gaza. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI