fbpx

DUN Selangor: Semak semula syarat ketat tubuh pusat asuhan, tadika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menyemak semula syarat-syarat penubuhan pusat asuhan, taska atau tadika terlalu ketat sehingga menggalakkan kewujudan premis berkaitannya beroperasi secara haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (PH -DAP) berkata, PBT mensyaratkan agar pusat begini perlu ditubuh dalam rumah ‘corner lot’ dan memerlukan pelan susun atur.

Katanya, ini bermaksud pengasuh perlu mengupah perkhidmatan arkitek yang bayarannya sangat mahal.

“Mereka perlu mengubahsuai rumah untuk membina akses bomba alternatif, memastikan pematuhan kepada keperluan Kementerian Kesihatan (KKM) dan sebagainya.

“Yang mengasuh dua atau tiga orang anak juga tertakluk kepada syarat-syarat sama. Akhirnya, banyak pengasuh beroperasi secara haram,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Pembekalan 2024, hari ini.

Jelas beliau, sebagai kerajaan, ini bermaksud pemantauan juga berkurangan yang membawa impak negatif kepada keselamatan kanak-kanak.

“Telah tiba waktunya supaya syarat-syarat PBT bagi pusat pengasuh, tadika dan taska disemak semula supaya lebih realistik tanpa menjejaskan keselamatan kanak-kanak. Selangor harus menerajui perubahan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Michelle Ng berkata, Selangor perlu mewujudkan satu sistem pelaporan antara Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan pemaju.

“Sistem ini perlu dikemaskini setiap minggu oleh pemaju dengan harga setiap unit lot, unit yang mana ditetapkan sebagai lot bumiputera, lot mana yang telah dijual dan butir-butir pembeli lot tersebut.

“Sistem akauntabiliti ini akan mengelak wujudnya isu penjualan lot bumiputera kepada bukan bumiputera,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan LPHS wajar memerlukan pemaju membayar jaminan bank yang boleh dilucuthakkan jika pemaju tersebut menjual lot bumiputera kepada bukan bumiputera tanpa pelepasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI