KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan bantahan awal yang difailkan oleh bapa kandung untuk mendapatkan hak jagaan anak bongsu pengasas produk kecantikan, Dnars Skincare iaitu Qaseh Khadija Ahmad Shah Rizal, 10.
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Zaini Sulaiman yang menolak permohonan bantahan awal daripada Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 46, untuk membatalkan kes induk melibatkan hak penjagaan (hadanah) terhadap Qaseh Khadija.
Penolakan permohonan daripada Ahmad Shah Rizal itu sekali gus menjadikan hak jagaan Qaseh Khadija kekal milik kakaknya, Irdiena Hakim Jasman, 20, dan ibu saudara, Faradilla Rohban Ahmad, 36.
Sebelum ini, Irdiena bersama Faradilla merupakan plaintif yang diwakili peguam, Naimah Saupi dan Shaharuddin Mohamed membuat tuntutan hadanah untuk hak lawatan, bermesra dan bermalam terhadap Qaseh Khadija yang merupakan anak kedua kepada pengasas Dnars, allahyarham Faziani Rohban Ahmad pada 28 Mac lalu.
Sementara itu, bapa saudara Qaseh Khadija, Mohd. Faizul Rohban Ahmad bersyukur atas keputusan yang diputuskan oleh mahkamah hari ini.
“Mahkamah sekali lagi memutuskan hak penjagaan sementara Qaseh Khadija kekal di bawah jagaan kakak dan ibu saudaranya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 29 Mei lalu membenarkan Irdiena Hakim yang merupakan anak kedua kepada pengasas produk kecantikan, Dnars Skincare mendapa hadanah adik bongsunya selepas tidak dibenarkan untuk bertemu dengan kanak-kanak itu sejak empat tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Zaini selepas Qaseh Khadija memilih untuk tinggal bersama tiga plaintif iaitu kakak, Irdiena Hakim, neneknya, Khatijah Mirdin, 71, dan ibu saudara, Faradila Rohban. – KOSMO! ONLINE