fbpx

57 tapak sampah haram aktif di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Sebanyak 57 tapak sampah haram dikesan masih aktif di seluruh Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim berkata, tapak sampah paling tinggi di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya sebanyak 18 diikuti Majlis Perbandaran Hulu Selangor (13) serta Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang masing-masing lapan.

Katanya, selebihnya adalah di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (6), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (3) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (1).

“Akta sedia ada Akta Kerajaan Tempatan 1976 tidak mencukupi untuk mengawal operasi tapak pembuangan sampah. Penguatkuasaan bagi Selangor pada masa ini adalah terhadap kuasa di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah tahun 2007 dengan denda maksimum RM2,000.

“Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju supaya penggubalan dan pewartaan enakmen atau Undang-undang Kecil Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam diteruskan semula mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Cheong Kian Young (PH-Kajang) mengenai tapak pembuangan sampah haram di Selangor.

Suee Lim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan turut menafikan dakwaan tular Selangor kini dikenali ‘Darul Sampah’ seperti dibangkitkan Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin (PN-Sungai Burong) dalam soalan tambahan pada sesi tersebut.

Jelas beliau, semua pihak harus sedar penduduk Selangor terlalu padat dengan kini mempunyai 10 juta penduduk termasuk rakyat asing.

“Tuduhan menyatakan Selangor ‘Darul Sampah’ itu tidak tepat. Selangor menerusi KDEB Waste Management telah menjalankan pengurusan sampah dengan lebih lancar dan tersusun pada setiap hari dan berkala.

“(Selangor) sebanyak 7,500 tan sampah sehari dihasilkan selain kehadiran ‘ulat sampah’ yang suka membuang sampah merata-rata. Jadi, kerjasama semua pihak perlu dalam memelihara kebersihan dan keindahan negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI