fbpx

Proses ekstradisi Sirul Azhar perlu kerjasama Australia-KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.-Foto SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Proses membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, bergantung kepada keputusan kerajaan Australia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perbezaan peruntukan undang-undang di Malaysia dan Australia menyebabkan proses berkenaan terhalang.

“Kita perlu melihat kepada ‘dual criminality’ iaitu hukuman bagi kesalahan yang berlaku di Malaysia dan Australia mesti sama.

“Kalau di sana (Australia) penjara sepanjang hayat, kita (Malaysia) pun penjara sepanjang hayat. Masalahnya di sini, adalah hukuman bunuh di Australia tiada.

“Dan satu masalah lagi, kita punya hukuman bunuh itu dimansuhkan adalah atas mandatori bunuh sahaja namun hukuman tetap ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas dan Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di MESS Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau melihat kerajaan Australia tidak akan memberi kerjasama sekiranya hukuman bunuh atas Sirul masih lagi berkuat kuasa.

Menurutnya, ia juga bergantung kepada Sirul sama ada mahu pulang ke Malaysia bagi berhadapan dengan hukuman dikenakan oleh mahkamah sebelum ini iaitu hukuman bunuh.

“Hukuman itu memang berkuat kuasa dan telah dijatuhkan. Melainkan, Sirul nak balik ke Malaysia, dia menggunakan keperluan dia, ataupun dia menggunakan diri sendiri, untuk memohon kepada mahkamah supaya hukuman itu dikaji semula,”ujarnya.

Sehubungan itu, Razarudin berkata, langkah selanjutnya akan diambil pihak kerajaan yang berkaitan bagi melakukan perbincangan bersama Pejabat Peguam Negara Australia untuk membawa pulang Sirul ke Malaysia. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI